AM

KKM Periksa Lebih 281,000 Premis Dalam Ops Selamat Papa

01/08/2025 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memeriksa 281,381 premis di seluruh negara dalam Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang dijalankan sejak 1 Okt 2024.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata hasil pemeriksaan, KKM telah membuka 459 kertas siasat membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Beliau berkata daripada jumlah itu, 340 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan di bawah Seksyen 7 kerana mengiklankan produk merokok dan 68 bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 kerana menjual produk merokok tidak mengikut harga dan syarat yang ditetapkan.

Selain itu, 51 lagi kesalahan dikesan dilakukan di bawah Seksyen 15 kerana mengilang, mengimport atau mengedar produk merokok tidak mengikut kehendak pembungkusan dan pelabelan.

“Ops ini langkah signifikan untuk melindungi generasi muda daripada bahaya produk merokok, termasuk rokok elektronik dan vape yang semakin berleluasa, selaras hasrat kerajaan ke arah pengharaman penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Ops Selamat PaPa Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dzulkefly berkata operasi berkenaan dilaksanakan secara serentak dan bersepadu di seluruh negara dengan fokus utama terhadap aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan semua jenis produk merokok.

Beliau berkata sebarang pelanggaran terhadap mana-mana seksyen di bawah Akta 852 boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama bagi pertubuhan perbadanan.

“Bagi kesalahan berikutnya, denda sehingga RM300,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan,” katanya.

Dzulkefly berkata pelaksanaan Ops itu mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Terdahulu, Dzulkefly menyertai Ops Selamat PaPa di sekitar kawasan KL Traders Square dan menyebarkan risalah kepada peniaga berkaitan Akta 852.

Akta 852 yang berkuat kuasa 1 Okt 2024 diperkenal untuk memperkukuh kawalan terhadap penjualan, pengiklanan dan promosi semua produk merokok, termasuk rokok elektronik atau vape di Malaysia.

la khusus bagi orang belum dewasa (OBD) yang berumur kurang 18 tahun, mereka dilarang terlibat dengan aktiviti penjualan, pembelian dan penggunaan apa-apa jenis produk merokok melalui apa-apa cara.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan