KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai agenda dasar yang berwawasan dan pragmatik bagi mentransformasikan sektor pelancongan menjadi sektor berpendapatan tinggi dan mampan.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Tiong berkata menjelang ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2026, RMK13 bukan sekadar pelan pembangunan, malah satu manifestasi komitmen kerajaan yang jelas untuk membawa industri pelancongan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Semasa pembentangan RMK13 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam, Perdana Menteri menekankan pemulihan memberangsangkan industri pelancongan apabila pelancong asing membelanjakan RM102.2 bilion di Malaysia pada 2024.
“Ini satu pencapaian amat menggalakkan.Saya yakin momentum positif ini akan berterusan di bawah RMK13 sekali gus membolehkan sektor pelancongan menyumbang 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2030,” katanya.
Antara inisiatif utama di bawah RMK13 adalah pewujudan Zon Pelaburan Khas Pelancongan (STIZ), khususnya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak yang beliau yakin zon ini mampu memperluas penawaran produk pelancongan dan menarik pelabur domestik serta antarabangsa.
“Hingga Jun 2025, sebanyak 43 lokasi berpotensi telah dikenal pasti. Pada peringkat kementerian, saya akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk mempercepat pelaksanaannya.
“Saya amat percaya bahawa pelancongan tidak seharusnya tertumpu di bandar-bandar utama sahaja dan perlu merangkumi seluruh lapisan masyarakat. Justeru, saya menyambut baik tumpuan terhadap pelancongan inap desa yang bukan sahaja menjana pendapatan tambahan untuk komuniti luar bandar, malah memberikan pengalaman menarik kepada pelawat … ,” katanya.
RMK13 juga dilihat mengiktiraf peranan penting sektor penerbangan dalam pertumbuhan pelancongan, termasuk perancangan untuk menambah 178 pesawat baharu menjelang 2030 sekali gus meningkatkan keupayaan laluan antarabangsa dan kekerapan penerbangan di seluruh ASEAN.
“Langkah itu akan memperkukuh daya saing Malaysia dalam pasaran pelancongan serantau. Saya juga berbesar hati kerana rancangan berkenaan turut menekankan kepentingan khazanah budaya, warisan dan seni dalam pembangunan pelancongan,” katanya.
Tiong turut menyambut baik tumpuan berterusan terhadap pembangunan infrastruktur pengangkutan di Sarawak dan Sabah, termasuk projek seperti Jalan Penghubung Sabah-Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Rentas Borneo yang menunjukkan kemajuan ketara.
“Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan berterusan terhadap sektor pelancongan. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kekal komited melaksanakan aspirasi RMK13 bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang berpendapatan tinggi, mampan dan kaya dengan keunikan budaya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial