AM

KPT Perluas Audio Siar Telaah, Subur Minat Membaca, Perbincangan Ilmu Secara Intelektual

02/06/2025 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Telaah, sesi diskusi dan membedah buku serta karya melalui audio siar yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 semalam, akan diperluas dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan program itu akan dikembangkan kepada khalayak yang lebih luas membabitkan mahasiswa, pensyarah, para guru dan anak-anak sekolah bagi mewujudkan rasa cinta kepada amalan membaca.

Beliau berkata Telaah merupakan satu inisiatif cetusan idea Perdana Menteri yang sememangnya dikenali sebagai seorang pencinta buku dan pemimpin berjiwa ilmu.

"Dalam setiap ucapan beliau, pasti akan ada petikan kata-kata tokoh dan buku-buku penting yang menghidupkan wacana dan mencerdaskan minda rakyat.

“Telaah bukan sekadar program, ia adalah gerakan. Gerakan untuk menyuburkan semula minat membaca, budaya bedah buku dan perbincangan intelektual yang berasaskan ilmu,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Episod pertama Telaah semalam menampilkan Anwar sebagai tetamu istimewa dengan mengupas empat naskhah dari perpustakaan peribadi beliau iaitu Kemiskinan Melayu dan Jalan Kepulihannya karya pendeta Za’ba, Jejak-Jejak di Pantai Zaman (Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz), Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu (Profesor Diraja Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas) dan Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat (Datuk Dr Siddiq Fadzil).

Zambry juga berkata bagi menyahut perkembangan teknologi pendigitalan, pertandingan bedah buku secara dalam talian akan turut diadakan agar masyarakat dari semua pelusuk negara dapat menyertainya.

“Hasrat kita jelas, mewujudkan sebuah bangsa yang bukan hanya membaca tetapi membaca dengan faham dan faham dengan semangat membina.

“Saya mengharapkan Telaah menjadi platform untuk dihidupkan kembali budaya ilmu. Dari pemimpin tertinggi negara hingga ke akar umbi masyarakat, Telaah adalah milik semua. Insya-Allah kita jumpa di Telaah episod seterusnya selepas ini,” katanya.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi itu merupakan wadah terkini yang mendukung aspirasi besar negara untuk membudayakan wacana berasaskan pembacaan dan mentransformasikan keghairahan terhadap ilmu menjadi amalan kebangsaan.

Disiarkan seminggu sekali melalui platform dalam talian, Telaah mempertemukan tokoh-tokoh ilmuwan, penulis dan masyarakat umum dalam diskusi terbuka yang mencetus pemahaman lebih jitu terhadap pelbagai isu kemasyarakatan serta ketamadunan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan