AM

Kedah Akan Lakukan Pemutihan Premis Kitar Semula

28/05/2025 07:21 PM

JITRA, 28 Mei (Bernama) -- Kedah akan melaksanakan langkah pemutihan dalam usaha mengekang  premis kitar semula yang beroperasi secara haram dan semakin berleluasa di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Dr Haim Hilman Abdullah berkata tindakan itu bagi memastikan setiap premis mempunyai kebenaran Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk beroperasi demi kelestarian alam sekitar.

“Kita telah menyediakan satu kertas dasar untuk membuat pemutihan semua kilang tak berdaftar termasuk pusat kitar semula e-sisa. Tanpa kawalan yang baik, ia akan memberi imej buruk kepada negeri dan negara serta mendatangkan kemudaratan serius kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hab Sumber Kitar Semula Green Resources Recovery Sdn Bhd (GRRSB) di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong dan menjalinkan kerjasama baik dengan JAS bagi membanteras kegiatan pusat kitar semula haram.

Pihaknya juga kesal kerana terdapat sebahagian pengusaha bersikap sengaja melanggar undang-undang dan memilih untuk mengambil risiko didenda daripada mengambil tanggungjawab untuk memohon lesen pengoperasian, katanya.

“Kita tahu dalam konteks perniagaan ialah keuntungan sebagai matlamat, tapi biarlah bermoral dan beretika. Kerajaan negeri akan terus mendukung usaha bersepadu JAS untuk melakukan serbuan di tempat-tempat didapati tidak memenuhi syarat-syarat untuk beroperasi,” katanya.

Selain penguatkuasaan, Haim berkata komponen pendidikan juga akan diberi keutamaan untuk membantu pengusaha kitar semula memahami prosedur permohonan yang betul.

"Matlamat kami adalah untuk memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan pemilik perniagaan, pihak berkuasa penguatkuasaan dan negeri dan kami mahu memastikan kami meninggalkan generasi yang bersih dan mampan pada alam sekitar," katanya.

Semalam, Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab dilapor berkata premis kitar semula sisa buangan elektrik dan elektronik atau e-sisa yang beroperasi secara haram menjadi antara isu semakin membimbangkan.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap beberapa premis yang menjalankan kegiatan pemprosesan dan  pelupusan e-sisa secara haram di negeri ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan