AM

PMR 2025 Kelantan: Lebih 80,000 Pelajar Terima Manfaat Tuisyen Percuma NADI Nurture DILEA

08/08/2025 01:10 PM

KOTA BHARU, 8 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 87,040 pelajar di seluruh negara telah menerima manfaat pembelajaran tuisyen percuma menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Nurture Digital Learning (DILEA) sejak penubuhannya pada Julai 2024.

Koordinator NADI Nurture DILEA Siti Fatimah Mohd Saman berkata platform itu menyediakan pembelajaran bagi pelajar berusia 13 hingga 18 tahun melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) yang membolehkan mereka mengakses akaun masing-masing di NADI dan mengikuti kelas secara langsung mengikut jadual disediakan.

Beliau berkata semua elemen pembelajaran boleh didapati dalam sistem DILEA dengan harapan pelajar mendapat pelbagai kaedah pembelajaran terkini dan menyeronokkan.

“Malah, semua aktiviti pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian menggunakan teknologi pendigitalan, selain menggalakkan komuniti mengunjungi NADI bagi memanfaatkan kemudahan yang tersedia di pusat berkenaan.

"NADI Nurture DILEA yang diperkasakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertujuan memberi manfaat secara percuma kepada komuniti melalui lima elemen utama, iaitu Bimbingan Akademik Live Class merangkumi Open Tuition dan Guidance Tuition, Bimbingan dan Penilaian Kemajuan, Penguasaan Bahasa Inggeris, Video Ulang Kaji dan Program Khas," katanya kepada Bernama sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Siti Fatimah berkata menerusi PMR 2025 di Kelantan ini, pihaknya mengambil peluang untuk memperluas hebahan dan menggalakkan komuniti mendapatkan akses pendidikan digital secara percuma.

Beliau berkata lebih 100 guru tuisyen terlibat dalam program berkenaan.

PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari hingga esok diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta disokong oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.

Program ini menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan