KOTA BHARU, 7 Ogos (Bernama) -- Perkhidmatan saringan tahap stres secara ringkas dan interaktif yang ditawarkan di reruai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan menjadi tumpuan para pengunjung.
Inisiatif berkenaan membuka ruang kepada orang ramai menilai tahap kesihatan mental mereka melalui soal selidik mudah dan cepat, sekali gus menggalakkan kesedaran awal terhadap pengurusan emosi secara sihat.
Kaunselor Yayasan Kebajikan Negara KPWKM Yusra Nayli Mat Yunus berkata hampir 100 pengunjung menjalani saringan itu sehingga pukul 12 tengah hari, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau berkata saringan itu adalah langkah awal untuk menilai tahap stres individu, namun bagi mendapatkan hasil analisis yang tepat, pengunjung perlu memberikan jawapan secara jujur.
“Sesi saringan yang disusuli khidmat kaunseling ini bukan sahaja memberi manfaat kepada individu yang terlibat, malah menjadi petunjuk positif bahawa kesedaran terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat semakin meningkat.
“Saya menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang menjalani saringan ini sebagai langkah awal memelihara kesejahteraan emosi dan mental,” katanya kepada Bernama di Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pengunjung Ahmad Khirul Che Sadom, 32, berkata pendekatan yang mesra pengguna dan tidak formal itu amat berkesan, khususnya dalam menarik minat orang awam untuk mula mengambil berat soal kesihatan mental.
“Kebanyakan orang enggan menghadiri sesi kaunseling secara rasmi kecuali apabila mereka sudah berada pada tahap stres yang serius. Jadi, saringan awal seperti ini sangat membantu kerana mudah diakses dan tidak menakutkan,” katanya.
Beliau turut memuji sistem rujukan yang dilaksanakan apabila individu yang didapati mengalami tahap stres sederhana hingga sangat teruk akan segera dirujuk kepada kaunselor yang berada di reruai berkenaan.
PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta disokong pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.
Program berkenaan menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial