AM

Pemilik Premis Diberi Tempoh Hingga 30 Sept Patuhi Syarat Akta 852 - Exco

07/08/2025 06:26 PM

BATU KAWAN, 7 Ogos (Bernama) -- Pemilik premis di Pulau Pinang diberi tempoh hingga akhir bulan depan untuk mematuhi syarat di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Okt.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata pemeriksaan mendapati masih terdapat pengusaha premis yang belum mematuhi syarat seperti ditetapkan akta berkenaan.

“Sebahagian premis didapati mematuhi syarat termasuk mempamerkan notis larangan merokok dan rokok elektronik (vape) serta maklumat berkaitan perkhidmatan berhenti merokok.

“Namun begitu, masih ada yang belum memenuhi keperluan sebagai contoh rak pameran produk rokok di premis yang tidak mematuhi syarat seperti termaktub dalam Akta 852 dan kita telah keluarkan notis peringatan kepada pemilik untuk mengambil tindakan sebelum hujung September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang di Medan Selera R&R Bandar Cassia dan Pusat Komersial Borealis di sini hari ini.

Gooi berkata ketika ini pihaknya masih dalam fasa advokasi bagi memberi ruang kepada pengusaha premis melakukan penambahbaikan, namun menegaskan tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi syarat selepas 30 Sept.

Sementara itu, beliau berkata setakat 5 Ogos lepas, sebanyak 2,647 kompaun telah dikeluarkan JKN Pulau Pinang atas kesalahan merokok di premis makanan selain mengeluarkan 137 notis kepada pemilik premis kerana tiada tanda amaran merokok.

“Program hari ini bermatlamat memastikan pematuhan oleh peniaga dan orang ramai terhadap peraturan kebersihan makanan dan larangan merokok di premis makanan.

“Ia juga menekankan konsep pemerkasaan komuniti iaitu komuniti akan dilibatkan secara langsung agar mereka memahami peranan dan tanggungjawab dalam usaha sama menjaga kesejahteraan kesihatan awam,” katanya.

 Beliau berkata JKN Pulau Pinang komited menguatkuasakan Akta 852 dan semua pihak diseru memberikan kerjasama bagi menjayakan matlamat itu, seterusnya mewujudkan suasana persekitaran bebas asap rokok.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan