AM

Pasport Keselamatan Air Fokus Pematuhan Dikuat Kuasa Awal Tahun Depan - SPAN

06/08/2025 12:43 PM

PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Pasport Keselamatan Air yang menitikberatkan pematuhan terhadap prosedur keselamatan dan kesedaran risiko dalam kalangan pekerja dijangka dikuatkuasakan pada awal 2026, menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

SPAN dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu bakal dilaksanakan secara berperingkat bermula September ini dengan pembangunan modul latihan serta pelaksanaan latihan percubaan pada penghujung tahun ini. 

“Setiap peserta, yang terdiri daripada pekerja dalam industri perkhidmatan air akan diberikan sijil Pasport Keselamatan Air setelah menamatkan latihan sebagai bukti kelayakan keselamatan asas yang diiktiraf oleh SPAN dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH),” menurut kenyataan itu.

Diperkenalkan SPAN, pembangunan modul Pasport Keselamatan Air terhasil menerusi jalinan kerjasama bersama NIOSH dengan sokongan operator bekalan air dan pembetungan bagi memperkukuh kawalan risiko serta keselamatan untuk industri perkhidmatan air negara.

Menurut SPAN, inisiatif itu menjadi penanda aras kepada usaha bersama untuk memperkukuh kesedaran serta pengetahuan keselamatan dalam kalangan pekerja industri perkhidmatan air di Malaysia.

“Dengan pelaksanaan program ini, SPAN yakin tahap keselamatan pekerjaan dalam industri air akan terus diperkasa, seterusnya menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan air yang lebih selamat, cekap dan berdaya tahan,” menurut kenyataan itu.

Majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) untuk kerjasama itu berlangsung semasa sidang kemuncak Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ASEAN 2025 anjuran NIOSH di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 Ogos lepas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan