KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Pelaburan dalam biodiversiti bandar mampu memberikan pulangan bukan sahaja daripada segi ekonomi malah turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata pendekatan pembangunan bandar secara lestari mampu mewujudkan persekitaran yang lebih hijau dan bersih sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk selain menjadi tarikan kepada pelabur serta pelancong.
"Kalau kita beralih kepada biodiversiti bandar, kita akan melihat banyak perkara daripada segi ekonomi. Bila kita melabur, kita sebenarnya bukan melabur sahaja daripada segi pulangan kewangan tetapi kita akan melihat daripada segi pulangan kepada alam sekitar.
"Kemudian kita pulangkan kepada rakyat yang tinggal sebab ia akan menghasilkan udara yang lebih bersih," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Persidangan Biodiversiti Bandar (UBC) 2025 di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.
Fadillah berkata penciptaan lebih banyak ruang hijau dan taman rekreasi di kawasan bandar berpotensi meningkatkan kesejahteraan sosial penduduk selari dengan matlamat pembangunan mampan.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berangkat ke persidangan yang bermula 10 pagi itu.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata nilai hartanah boleh meningkat jika pembangunan bersifat mesra alam selain mengambil kira keseimbangan biodiversiti dalam perancangan bandar.
"Pulangan pelaburan, harganya akan lebih baik sebab orang akan membeli. Bukan sahaja rumah, orang akan membeli tempat tinggal yang boleh dipanggil betul-betul tempat kita tinggal di mana persekitarannya lebih bersih dan lebih hijau," katanya.
UBC 2025 yang bertemakan Coexistence: Shared Environments for Balance and Resilience anjuran Sime Darby Property bertujuan menggalakkan integrasi biodiversiti dalam perancangan bandar melalui kerjasama rentas sektor selain memperkukuh komitmen terhadap pembangunan lestari dan kesejahteraan komuniti.
Terdahulu, Fadillah menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Lima Tahun Mengenai Biodiversiti Bandar antara Sime Darby Property Berhad dan Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (TRCRC) bagi memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti bandar di Bandar Elmina.
Sime Darby Property diwakili Ketua Pegawai Operasi-Pembangunan Perbandarannya, Appollo Leong manakala TRCRC oleh Pengarah Eksekutifnya, Dr Dzaeman Dzulkifli.
Kerjasama strategik itu menandakan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk mengintegrasi pendekatan berasaskan ekologi dalam pembangunan bandar selaras dengan keutamaan alam sekitar negara dan sasaran biodiversiti global.
Semasa sesi bual bicara santai yang dikendalikan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Asia Tenggara Bullhound Capital Shahril Hamdan, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan Putrajaya sebagai model reka bentuk bandar mampan dan menggesa supaya zon pemuliharaan berasaskan biodiversiti diwujudkan di bandar-bandar lain.
Beliau turut memuji peranan penting golongan belia dalam pemuliharaan alam sekitar, khususnya sumbangan mereka terhadap kejayaan negara menanam 100 juta pokok.
Dalam ucapannya pada persidangan itu, Fadillah berkata biodiversiti bandar selaras dengan nilai teras Kerajaan MADANI, iaitu Kemampanan, Ihsan dan Daya Cipta yang menjadi komponen penting dalam kerangka pembangunan negara.
Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia terhadap matlamat alam sekitar global melalui kerangka dasar utama termasuk Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4), Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Kepada peneraju industri dan sektor swasta, jadikan biodiversiti sebagai komponen utama strategi perniagaan dan bukan sekadar tanggungjawab sosial korporat semata-mata. Jadilah pendukung konsep seperti ‘Biodiversity Net Gain’ dan melabur dalam rantaian bekalan hijau,” katanya.
Bersempena dengan Kepengerusian ASEAN, Fadillah berkata Malaysia akan memimpin usaha kemampanan serantau menerusi Pelan Tindakan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (2026-2035) dan Pelan Kepelbagaian Biologi ASEAN (ABP) 2024 yang bertujuan membina ekosistem bandar yang inklusif dan berdaya tahan iklim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial