AM

Cadangan JDA Berhubung Pertikaian Sempadan Maritim Laut Sulawesi Masih Diteliti - Mohamad Hasan

05/08/2025 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia masih meneroka kemungkinan kerjasama melalui Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) yang membabitkan pertikaian sempadan maritim kedua-dua negara di kawasan perairan Laut Sulawesi, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata JDA tersebut merupakan usaha awal dalam mencari penyelesaian terbaik bagi kedua-dua negara dan sehingga kini, tiada perkara yang diperincikan atau dimuktamadkan.

“Isu ini masih dalam perbincangan awal antara kedua-dua pihak dan sebarang keputusan yang diambil mestilah memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Dalam menyelesaikan isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia, Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan melibatkan kerajaan Sabah dalam proses rundingan dan perbincangan tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) mengenai cadangan JDA dengan Indonesia di blok ND 6 dan ND 7 di Laut Sulawesi serta sama ada kaedah yang digunakan adalah serupa dengan Malaysia-Thailand Joint Development Authority (MTJDA) atau kaedah lain, memandangkan hak-hak Sabah dan Sarawak terpelihara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mohamad juga mengulangi pendirian bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil serius pandangan serta pendirian kerajaan Sabah dalam memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara.

Beliau berkata sebarang perbincangan berkaitan sempadan maritim dilaksanakan secara teliti, cermat dan berhemah, berlandaskan prinsip perundangan serta pertimbangan teknikal yang sewajarnya.

Menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah (Warisan-Kota Belud) berhubung sesi penerangan isu tersebut kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Mohamad berkata Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar bersedia memberi taklimat kepada ahli-ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara serta ADUN Sabah bagi memastikan semua pihak memahami isu itu dan mengelakkan ia dimanipulasi sebagai bahan fitnah.

“Kita boleh cari tarikh yang sesuai… agar isu ini tidak terus dimainkan, tidak menjadi duri dalam daging dan tidak dijadikan bahan fitnah, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, Mohamad menjelaskan bahawa keputusan itu tidak berkaitan langsung dengan pertikaian di Laut Sulawesi.

Beliau menjelaskan keputusan ICJ itu hanya merujuk kepada penetapan garisan koordinat iaitu garisan lurus pada titik 4 minit 10 saat, yang ditentukan berdasarkan kedudukan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, tanpa sebarang rujukan terhadap kawasan Laut Sulawesi.

“Sama seperti keputusan ICJ mengenai Batu Puteh, keputusan tersebut hanya melibatkan Batu Puteh dan bukan kawasan sekitarnya. Maka, isu berkaitan Laut Sulawesi masih perlu dirundingkan oleh Malaysia dan Indonesia. Tidak timbul soal Indonesia membuat keputusan secara unilateral mengenai JDA,” katanya.

Dalam konteks perundangan, beliau menegaskan Malaysia berpegang kepada tafsiran yang diiktiraf di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982) dalam menangani pertikaian sempadan maritim itu.

“UNCLOS 1982 menyatakan ambang laut atau kawasan intertidal dikira berdasarkan paras air surut besar. Sejauh mana air surut, itulah yang dikira sebagai daratan dalam istilah undang-undang laut antarabangsa.

“Namun, pihak Indonesia berpendapat bahawa semasa air pasang, kawasan itu adalah laut. Maka, inilah yang menjadi pertikaian dari segi terminologi dan definisi. Walau bagaimanapun, Malaysia berpegang teguh kepada tafsiran yang diiktiraf antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan