AM

Sultan Mizan Lancar Wakaf Konservasi Penyu

04/08/2025 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan melancarkan ‘Wakaf Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu’, model wakaf pertama di Malaysia yang memberikan tumpuan kepada pemeliharaan hidupan laut khususnya spesies terancam seperti penyu.

Baginda turut berkenan melancarkan RHB Sukuk Dana Hafeez bagi menyokong usaha pemuliharaan penyu menerusi program wakaf itu. 

Terdahulu, Sultan Mizan menyaksikan majlis pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoA) antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) sebagai simbolik kerjasama strategik ke arah pelaksanaan inisiatif wakaf berkenaan.

Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Naib Canselor UMT Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata kerjasama itu idea kreatif dan inovatif bagi menjamin kesinambungan aktiviti penyelidikan dan pemuliharaan serta membuka peluang kepada masyarakat untuk turut serta dalam agenda pemuliharaan biodiversiti menerusi sumbangan wakaf secara sistematik dan berstruktur.

“Kerjasama itu manifestasi keupayaan UMT dalam menjadikan ilmu dan penyelidikan sebagai instrumen pemuliharaan ekosistem alam, selain memperkukuh amalan wakaf dalam konteks pembangunan lestari berpaksikan prinsip ekonomi Islam,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan RHB Islamic Datuk Adissadikin Ali berkata dana sukuk itu membuka lembaran baharu dalam pendekatan pendanaan wakaf yang lebih inklusif dan berimpak, serta membuka peluang kepada lebih banyak penderma untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar melalui instrumen kewangan Islam yang telus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan