AM

MAIK Perluas Kemudahan Sedekah Digital Melalui Kerjasama SecurePay

30/07/2025 03:23 PM

KOTA BHARU, 30 Julai (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama Syarikat SecurePay Sdn Bhd bagi membangunkan platform Sedekah e-Jariah Masjid dan Sedekah Seriya Sehari.

Yang Dipertua MAIK Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata SecurePay Sdn Bhd telah menyumbang sebanyak RM460,000 untuk pembangunan platform berkenaan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Beliau berkata sistem e-Jariah Masjid yang dilancarkan pada 20 Feb lepas memberi kemudahan kepada orang ramai menyalurkan sumbangan secara dalam talian kepada 621 masjid di seluruh Kelantan.

"Platform Sedekah Seriya Sehari yang dilancarkan bulan ini pula, menyasarkan setiap rakyat Kelantan, di mana sahaja mereka berada untuk menyumbang ‘seriya’ (RM1) sehari tanpa sempadan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penandatanganan MoU antara Timbalan Yang Dipertua MAIK Datuk Mohd Anis Hussein dan Pengarah Eksekutif SecurePay Sdn Bhd Datuk Amir Haris Ahmad hari ini.

Beliau berkata selaras dengan peranan MAIK sebagai institusi agama, tanggungjawab dan amanah MAIK perlu diperluaskan melalui penyediaan akses sumbangan yang mudah, telus dan selamat.

Tengku Mohamad Rizam berkata meskipun platform Sedekah Seriya Sehari hanya melibatkan sumbangan kecil iaitu RM1 sehari bagi setiap individu, ia diyakini mampu memberi kesan besar kepada masyarakat terutamanya golongan memerlukan tetapi tidak termasuk dalam kategori asnaf zakat.

"Melalui komitmen harian sebanyak RM1, golongan kurang bernasib baik dapat dibantu untuk meringankan beban mereka, tanpa mengira batasan kaum, bangsa dan agama.

"MoU ini juga diharap dapat memberi manfaat besar kepada rakyat Kelantan serta menjadi langkah transformasi pendigitalan bagi urusan sumbangan dan infak secara dalam talian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan