KUALA NERUS, 22 Mei (Bernama) -- Seorang felo penyelidik di Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Anuar McAfee mencipta sejarah apabila menemukan sarang burung helang perut merah atau Lophotoriorchis kienerii di hutan Terengganu, Februari lepas.
Lebih menarik, penemuan sarang di atas pokok berketinggian 57 meter itu adalah yang pertama direkodkan di negara ini.
Anuar yang juga ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Terengganu berkata penemuan berkenaan amat penting dalam bidang ornitologi, iaitu cabang zoologi yang mengkaji burung.
Beliau berkata penemuan sarang berkenaan bukan sahaja menambah rekod saintifik negara malah membuktikan ekologi hutan di Terengganu masih sihat dan berfungsi dengan baik, khususnya dalam menyokong spesies liar di puncak rantaian makanan.
"Helang perut merah merupakan haiwan pemangsa yang disenaraikan dalam senarai merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) sebagai spesies hampir terancam.
"Spesies ini boleh ditemukan di kawasan hutan matang serta hutan tanah tinggi di Asia Selatan dan Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar berkata penemuan sarang haiwan raptor itu juga amat signifikan kerana ia bukan sahaja yang pertama di Malaysia, malah jarang berlaku di peringkat global.
Beliau berkata penemuan penting itu menyumbang secara langsung kepada usaha pemuliharaan global selaras dengan aspirasi Konvensyen Mengenai Kepelbagaian Biologi yang menekankan pemeliharaan biodiversiti sebagai asas kepada pembangunan mampan.
"Pemeliharaan habitat haiwan tersebut di Malaysia adalah penting untuk memastikan kekayaan biodiversiti yang kita miliki dilindungi untuk tatapan generasi akan datang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial