KOTA KINABALU, 1 Ogos (Bernama) -- Penganjuran pertandingan e-sukan yang diadakan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini menerima sambutan luar biasa, khususnya dalam kalangan golongan muda.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata penganjuran pertandingan e-sukan selama tiga hari yang bermula hari ini, disertai 43 pasukan melibatkan 258 peserta anak muda dari seluruh negeri Sabah.
"Pertandingan e-sukan HPPNK merupakan siri kedua selepas siri pertama yang diadakan di Ipoh, Perak sempena HPPNK 2023.
"Tujuan utama kita menganjurkan program itu adalah untuk mengumpulkan anak-anak muda dan menarik minat mereka hadir ke HPPNK.
"Walaupun ini acara dan juga pertandingan sampingan tetapi dapat menarik anak-anak muda daripada luar untuk sama-sama kita menyertai HPPNK," katanya kepada pemberita selepas melancarkan E-Sports 2.0 NAFAS-NEKMAT di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pentadbir Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Mohd Faizal Jakir, Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin dan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Azrin Shah Ismail.
Arthur berkata e-sukan antara pengisian Segmen Agro Millenia sempena HPPNK dan peserta pertandingan sukan itu berpeluang menikmati pelbagai kemudahan pada HPPNK yang turut diisi dengan program pameran dan tawaran jualan menarik.
"Di dalam Agro Millenia ini, selain daripada pertandingan e-sukan ada banyak pameran, teknologi, pemakluman dan sebagainya, kita menunjukkan teknologi, informasi yang paling baharu untuk kita menarik lebih ramai penyertaan orang muda.
"Kita ingin melihat lebih ramai anak muda dalam usaha kita secara menyeluruh untuk membangunkan sektor pertanian dan agromakanan negara,” katanya.
Beliau berkata pertandingan itu menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM10,000 dan pemenang akan menerima wang tunai, sijil penyertaan dan kemeja-T istimewa.
Selain perlawanan Mobile Legends turut disediakan di pentas e-sukan bertempat di Aras 2, Kinabatangan Hall, SICC itu, ruangan interaktif bagi permainan PlayStation 5 (PS5), realiti maya (VR) dan Arked.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial