KUCHING, 31 Julai (Bernama) -- Penganjuran program Science Castle Malaysia 2025 di Kuching ialah usaha memperluas akses pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar khususnya di Sarawak, yang berpotensi dalam bidang penyelidikan serta inovasi.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Pengeluaran Ajinomoto (Malaysia) Berhad Yong Kum Cheng berkata berdasarkan pengalaman penganjuran Science Castle Malaysia sebelum ini, wujud cabaran besar bagi pelajar di Sabah dan Sarawak untuk menyertai program itu kerana kekangan kos dan logistik.
Bercakap dalam sidang media selepas majlis perasmian program itu di sini hari ini, beliau berkata Ajinomoto percaya teknologi adalah asas penting untuk membina negara maju dan Science Castle menjadi platform yang merintis laluan ke arah itu.
"Sebab itu kami pastikan program ini inklusif sama ada pelajar dari Kuching, Sibu atau kawasan pedalaman, semuanya dijemput menyertainya bagi memberi peluang untuk belajar merasai sendiri pengalaman, bukannya sekadar teori,” katanya.
Beliau berkata menerusi lawatan ke kilang atau sesi bersama pakar industri, pelajar boleh membayangkan bagaimana masa depan mereka boleh terbentuk dan bagaimana mereka boleh menyumbang melalui ilmu yang mereka pelajari.
"Pelajar yang belajar biologi, kimia atau fizik boleh melihat bagaimana ilmu itu diaplikasikan dalam industri seperti automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pengurusan sumber asli," kata Yong.
Sementara itu, Ketua Projek Science Castle Malaysia Muhammad Basril Muhammad Asri berkata projek itu terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah tanpa tema atau kriteria khusus, asalkan projek mereka berkaitan dengan sains dan teknologi.
“Kami mahu memupuk minat dari peringkat awal dan tidak mahu membebankan pelajar dengan penilaian yang rumit, ini pembelajaran secara aplikasi dan praktikal,” katanya.
Basril berkata tahun ini program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran hampir 500 peserta, menunjukkan semangat pelajar Sarawak yang luar biasa dan tidak gentar untuk berkongsi idea.
"Saya percaya kepada kesaksamaan dalam pendidikan, setiap pelajar berhak mendapat peluang yang sama untuk meneroka minat serta membina masa depan dalam bidang sains dan teknologi, tanpa mengira latar belakang atau lokasi mereka,” katanya.
Science Castle Malaysia 2025 ialah inisiatif pendidikan Leave A Nest Malaysia dan Ajinomoto (Malaysia) Berhad yang diperluas ke Sarawak dan Sabah bagi memperkasakan pendidikan STEM.
Selain Projek Science Castle, Ajinomoto (Malaysia) Berhad turut melaksanakan pelbagai program pendidikan untuk memupuk generasi muda dalam bidang pemakanan, inovasi makanan dan pemeliharaan alam sekitar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial