KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Tidak sampai 12 jam selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kementerian Komunikasi akan mengadakan sesi taklimat kepada Komuniti MADANI dan pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memperjelas pelaksanaannya kepada penggerak dasar di peringkat akar umbi malam ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sesi secara dalam talian itu bakal melibatkan 1,878 Komuniti MADANI dan 1,099 pengurus NADI di seluruh negara.
Beliau berkata ia penting untuk memastikan usaha dan ikhtiar Kerajaan MADANI difahami serta dapat disebarluaskan secara menyeluruh kepada masyarakat.
“Kita percaya apabila kita bantu Komuniti MADANI serta pengurus NADI menyebarluaskan ikhtiar dan hasrat kerajaan… maka rakyat akan mendapat manfaat... kita jangkakan lebih 3,000 orang akan mendengar taklimat itu,” katanya pada sidang media selepas pembentangan RMK13 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, berkata RMK13 bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ merupakan terjemahan kepada wadah yang dibawa oleh Kerajaan MADANI melalui kerangka Ekonomi MADANI untuk tempoh 2026 hingga 2030.
“Kita mengambil kira dan juga memahami pelbagai peluang yang wujud dengan trend mega dan juga cabaran domestik yang ada... RMK13 berusaha untuk mencakupi semua dimensi termasuk kemampanan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam serta pengukuhan tatakelola,” katanya.
Beliau berkata RMK13 juga memberi tumpuan terhadap teknologi termaju termasuk kecerdasan buatan (AI) dengan harapan menjadikan Malaysia sebagai antara negara berteraskan AI utama dunia dalam tempoh lima tahun akan datang.
Fahmi berkata di bawah Kementerian Komunikasi, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan ekosistem ekonomi kreatif serta pengukuhan infrastruktur digital melalui MyCreative Ventures dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) khususnya dalam industri animasi.
“Sukacita saya sebut mengenai pengukuhan ekosistem ekonomi jingga, ataupun ekonomi kreatif, di mana kita berharap beberapa usaha dan ikhtiar akan dapat meningkatkan daya saing melalui penghasilan karya yang mempunyai nilai komersial tinggi untuk dinikmati di dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata usaha memperkukuh pembangunan ekonomi digital akan digerak melalui penambahbaikan infrastruktur digital bagi memperluas capaian Internet khususnya perkhidmatan berkelajuan tinggi.
“Jadi fokus kita melalui ikhtiar dan inisiatif adalah untuk pastikan capaian Internet meluas, Internet menjadi lebih murah untuk rakyat, tapi paling penting, lebih selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
Fahmi berkata kementerian juga komited memperkukuh pembangunan sosioekonomi Sabah dan Sarawak melalui peluasan program Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Dua serta projek Titik Kehadiran bagi menyeimbangkan pembangunan wilayah dan luar bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial