AM

RMK13: Peruntukan RM40 Bilion Laksana Reformasi Sektor Kesihatan - PM Anwar

31/07/2025 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM40 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dalam usaha kerajaan melaksanakan reformasi sektor kesihatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata reformasi kesihatan adalah ikhtiar penting kerajaan untuk memastikan pembiayaan kesihatan yang mampan serta akses penjagaan kesihatan lebih meluas dan terangkum.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah berkenaan turut memberi pilihan perkhidmatan kesihatan kepada pengguna di samping terus memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan mampu bayar.

“Bagi meningkatkan keterjaminan bekalan perubatan, pembuatan ubat domestik akan digalakkan dan penggunaan ubat generik oleh sektor awam dan swasta akan ditingkatkan.

“Cukai prokesihatan akan diperluas daripada gula kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol, bukan sekadar untuk hasil tetapi bagi mendorong perubahan tingkah laku dan membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang kian membimbangkan,” katanya ketika membentangkan RMK13 dengan tema “Melakar Semula Pembangunan” di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata langkah reformasi juga bertujuan mengurangkan perbelanjaan rakyat atau out of pocket expenses untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata dalam tempoh itu, lebih banyak projek pembinaan serta menaik taraf hospital dan klinik kerajaan, termasuk yang daif akan dilaksanakan.

Antaranya Hospital Tuanku Ja’afar 2, Seremban, Negeri Sembilan; Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru, Johor; Pusat Kanser Wilayah Utara, Sungai Petani, Kedah; Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Sabah; dan Pusat Kanser Sarawak.

Selain itu, Perdana Menteri berkata rangka kerja pembangunan profesional sektor kesihatan peringkat kebangsaan akan dibangunkan untuk menangani isu keperluan sumber manusia.

“Ikhtiar ini merangkumi latihan praperkhidmatan, pelesenan dan pendaftaran, pengambilan, penempatan serta pembangunan kerjaya bagi memastikan pengekalan bakat dalam sektor kesihatan.

“Pengurusan rekod kesihatan akan diperkukuh sebagai teras pendigitalan sistem kesihatan. Usaha ini akan memantapkan keupayaan saling kebolehkendalian merentas fasiliti kesihatan,” katanya.

Anwar berkata langkah itu juga akan menyumbang kepada penjanaan analitik kesihatan berimpak tinggi yang diperkasakan dengan kecerdasan buatan (AI) sebagai usaha mempertingkat kualiti penjagaan kesihatan rakyat.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan