AM

ASEAN, Rakan Dialog Perkukuh Kerjasama Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim Menerusi ASOEN-36

30/07/2025 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Negara ASEAN serta rakan dialog serantau terus memperkukuh kerjasama dalam isu alam sekitar dan perubahan iklim menerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN ke-36 (ASOEN-36) yang berlangsung hari ini.

Mesyuarat berkenaan merangkumi tiga sesi dialog, iaitu 19th ASEAN-Japan Dialogue on Environmental Cooperation, 5th ASEAN-Republic of Korea (ROK) Dialogue on Environment and Climate Change dan ASEAN-European Union (EU) High-Level Dialogue on Environment and Climate Change.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi dialog itu berperanan sebagai platform strategik untuk memperkukuh kerjasama serantau antara negara ASEAN dan rakan dialog dalam menangani isu berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim secara kolektif dan berkesan.

“Antara perkara utama dibincangkan ialah status kemajuan pelaksanaan Strategic Programme for ASEAN Environment and Climate (SPACE). Inisiatif ini dibangunkan bagi menangani tiga cabaran utama alam sekitar yang semakin mendesak di rantau ASEAN, iaitu perubahan iklim, kawalan pencemaran dan pemuliharaan biodiversiti.

“Melalui perbincangan itu, pelbagai program dan inisiatif telah dikenal pasti bagi menyokong pelaksanaan SPACE ke arah pembangunan mampan di rantau ini seperti Regional Knowledge Center for Marine Plastic Debris (RKC-MPD) (ERIA) dan ASEAN Climate Change Strategic Action Plan (ACCSAP),” menurut kenyataan itu.

Menurut NRES, tumpuan perbincangan turut menekankan kepada usaha mengawal pencemaran sisa marin melalui pelaksanaan program kerjasama dalam Regional Action Plan on Marine Litter (RAP-MALI).

Pelan tindakan itu melibatkan komitmen dan kerjasama erat antara negara ASEAN dengan matlamat memperkukuh inisiatif pengurusan sisa marin secara bersepadu pada peringkat serantau.

Dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau ke arah peralihan kepada ekonomi kitaran, NRES memaklumkan ASEAN Circular Economy Forum (ACEF) 2025 akan dianjurkan di Malaysia pada Oktober ini dengan kerjasama dan sokongan daripada Enhanced Regional EU-ASEAN Dialogue Instrument (E-READI). 

Forum itu merupakan platform strategik bagi merangka dan menyelaras pendekatan peralihan kepada ekonomi kitaran melalui dasar nasional serta inisiatif serantau yang selari dengan matlamat pembangunan mampan.

“Malaysia terlibat secara aktif dalam perbincangan pada hari ini dan turut menyatakan penghargaan kepada sokongan yang telah diberikan oleh rakan dialog ASEAN.

“Malaysia berharap kerjasama ini dapat diteruskan dalam aspek pembangunan kapasiti dan keupayaan teknikal serta penyediaan platform bagi perkongsian maklumat dalam menangani isu perubahan iklim, pengurusan sisa, pendidikan alam sekitar, pembangunan bandar lestari, pencemaran plastik dan konservasi biodiversiti,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan