AM

Agong, Permaisuri Berangkat Ke Majlis Tahlil Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2025

30/07/2025 08:08 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan 2025 di Masjid Negara, di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada kira-kira 5.30 petang disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

Antara kenamaan yang hadir ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama lebih 2,000 jemaah terdiri daripada penjawat awam, wakil agensi kerajaan dan pelajar sekolah tahfiz.

Majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah juga berkenan meluangkan masa bersalaman dengan orang ramai yang hadir sebelum berangkat meninggalkan majlis kira-kira 6 petang.

Sambutan Hari Pahlawan diraikan pada 31 Julai setiap tahun bertujuan mengenang jasa pahlawan negara, selain menyemai semangat patriotisme dan cinta akan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan