KUANTAN, 30 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pahang menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung dari seluruh negara ke program Mini MAHA Pahang 2025 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Temerloh dari 14 hingga 17 Ogos ini.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata program yang julung-julung kali dianjurkan itu juga dijangka mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.2 juta menerusi penglibatan lebih 100 usahawan tempatan dalam pelbagai sektor berkaitan agromakanan.
“Program ini merupakan platform strategik untuk memperkasakan sektor agromakanan negeri termasuk memperkenalkan teknologi terkini dalam bidang pertanian, ternakan dan perikanan.
“Ia juga memberikan ruang kepada kerajaan negeri mempromosikan produk tempatan serta mengetengahkan inisiatif dalam memperkukuh keterjaminan makanan di Pahang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Moh Kendurian 3.0 di Ladang Kampung Mahkota, di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 60 acara akan diadakan sepanjang program empat hari itu dengan penglibatan 30 jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Wan Rosdy berkata antara tarikan utama ialah program Pahang Berselawat dan Forum Perdana, Kenduri Buah, pelancaran dan promosi produk "Pahang Best" serta pengenalan produk Beras Pahang.
“Turut disediakan ialah Petting Zoo dan pameran ternakan melibatkan lembu sado, lembu wagyu serta kerbau balau,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penganjuran Mini MAHA peringkat negeri itu bertujuan memberikan ruang kepada usahawan di Pahang untuk tampil mempromosikan produk mereka secara lebih meluas memandangkan MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia) peringkat kebangsaan hanya diadakan dua tahun sekali.
“Kerajaan negeri telah memutuskan sekiranya MAHA peringkat kebangsaan diadakan pada sesuatu tahun, maka Mini MAHA peringkat negeri tidak akan dianjurkan pada tahun sama bagi mengelakkan pertindihan,” katanya.
Beliau turut berharap penganjuran Mini MAHA Pahang 2025 mampu menarik minat generasi muda menceburi bidang pertanian moden serta memperkukuh peranan Pahang sebagai antara negeri pengeluar makanan utama negara, sejajar dengan aspirasi Pahang 1st.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial