AM

Himpunan 'Turun Anwar' Bukti Pembangkang Ketandusan Idea - Kamil Munim

24/07/2025 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Himpunan 'Turun Anwar' yang dirancang Sabtu ini disifatkan sebagai manifestasi ketandusan idea Perikatan Nasional (PN) dalam menawarkan alternatif jelas kepada dakwaan kononnya kerajaan gagal mengurus ekonomi.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata angka dan laporan semasa jelas menunjukkan pemulihan serta pertumbuhan ekonomi negara berada di landasan yang kukuh dan konsisten, lantas membenam dakwaan semberono mereka.

“Pertumbuhan, inflasi, kadar pengangguran, jumlah pelaburan dipersetankan terus dek kerana benci dan haloba.

“Ini bukti nyata betapa gagalnya mereka dalam berhujah, mengolah serta mengusulkan alternatif kepada pelbagai dasar baik yang telah kita terjemahkan,” katanya menerusi ciapan di platform X hari ini.

Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata ketika kepemimpinan negara berusaha gigih membangunkan ekonomi, pembangkang pula memilih untuk menghasut dan menabur kebencian.

'Malah, hingga kini mereka masih gagal menamakan calon yang boleh diketengahkan sebagai pengganti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan MADANI kekal menjunjung prinsip kebebasan bersuara, termasuk hak untuk berhimpun secara aman, selaras dengan jaminan yang diberikan Perdana Menteri bahawa tiada intimidasi daripada pihak berkuasa.

“Namun, berdemonstrasi semata-mata benci kepada batang tubuh Anwar Ibrahim menunjukkan betapa lemah, dangkal dan longlainya politik mereka dalam mendepani ketangkasan kita menterjemah hasrat dan kehendak rakyat saat ini,” kata Kamil.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan