AM

MINDEF Bangunkan Sistem Pemantauan Kontrak, Perkukuh Tadbir Urus Perolehan - Adly

23/07/2025 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertahanan akan membangunkan satu sistem pemantauan kontrak bagi memperkukuh kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan perolehan aset serta projek termasuk pelaksanaan tindakan penguatkuasaan lebih awal terhadap kelewatan projek.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata langkah itu diambil susulan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang menyentuh kelemahan penguatkuasaan terma kontrak khususnya melibatkan isu denda lewat.

Beliau berkata dalam sistem perolehan kementerian ketika ini, denda lewat dikenakan ketika permohonan lanjutan masa (EOT) dipertimbang walhal sepatutnya ia boleh dikuatkuasakan lebih awal.

“EOT seharusnya datang dengan dua (situasi) iaitu sama ada EOT bersama denda lewat atau tanpa denda... kadang-kadang EOT itu tanpa denda kerana mungkin ada persoalan-persoalan teknikal… tetapi saya fikir kalau EOT nak diberi, kita boleh kuatkuasakan EOT dengan denda.

“Kita akur dengan kelemahan penguat kuasa terma kontrak ini... oleh itu, kita dalam proses bangunkan sistem pemantauan kontrak bagi membantu pegawai memantau kontrak-kontrak,” katanya ketika menggulung perbahasan LKAN 2/2025 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas teguran dalam LKAN, Adly berkata kementerian itu telah mengeluarkan notis denda lewat berjumlah RM162.75 juta pada 15 Jan lepas kepada syarikat pembekal 68 unit kenderaan perisai Gempita dan dua unit kenderaan jenis B (kenderan tanpa perisai) susulan kelewatan penghantaran dari tahun 2020 hingga 2023.

Beliau berkata syarikat itu telah mengemukakan surat balas dan merayu denda lewat diketepikan atas alasan force majeure melibatkan pandemik COVID-19 serta konflik Rusia-Ukraine.

“Permohonan rayuan tersebut dibentangkan dalam mesyuarat Panel Koordinasi Kontrak (CCP) pada 6 Mei lepas dan diputuskan syarikat tersebut dikenakan tuntutan penuh denda berjumlah RM162.75 juta.

“Keduanya, bon pelaksanaan berjumlah RM53.93 juta dan baki denda akan dituntut secara set-off daripada kontrak semasa atau kutipan secara berasingan daripada syarikat terbabit,” katanya.

Adly berkata arahan kepada pihak bank untuk melaksanakan penuntutan bon telah dikeluarkan pada 25 Jun 2025 dan kementerian akan mendapatkan baki denda lewat secara set-off itu.

Menjawab teguran berkaitan pelaksanaan perolehan secara 'pecah kecil' berjumlah RM107 juta, beliau berkata pendekatan itu diambil kerana cabaran logistik dan faktor kepakaran teknikal yang berbeza bagi aset terbabit.

Adly berkata lokasi aset terbabit ada yang di Kota Belud, Sabah serta Port Dickson dan Gemas di Negeri Sembilan dan lain-lain.

"Sebab itu dalam pendekatan pecah kecil ini kita ambil kira aspek-aspek itu serta faktor kesiapsediaan aset.

“Kita lihat keperluan-keperluan itu untuk kita laksanakan (bagi proses) sebut harga… ini adalah untuk pastikan aset dapat berfungsi demi kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan