KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) dan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan (ARCHIDEX) 2025 yang berlangsung serentak minggu ini meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembangunan hartanah dan bandar di rantau ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kedua-dua acara itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) meletakkan Malaysia di tengah-tengah kerjasama serantau serta mengetengahkan aspek-aspek penting pembangunan bandar ASEAN kepada dunia.
Beliau berkata AREC memacu dialog dasar peringkat tinggi dan pandangan strategik daripada menteri perumahan, pemimpin bandar dan pemaju manakala ARCHIDEX yang merupakan pameran terkemuka Asia, menjadi pelengkap kepada persidangan itu dengan menonjolkan produk, bahan dan penyelesaian termaju untuk seni bina dan persekitaran binaan.
“ARCHIDEX menarik lebih 56,000 pelawat dari lebih 110 negara, menyediakan AREC platform antarabangsa yang berpengaruh untuk meningkatkan agenda hartanah dan perumahan ASEAN kepada khalayak global.
“Akhirnya, matlamat kami adalah untuk menyokong pembangunan dan penerbitan strategi praktikal, boleh diambil tindakan dan berimpak yang mencerminkan konteks sosial, ekonomi serta alam sekitar yang unik dalam landskap perumahan ASEAN,” katanya dalam ucapan perasmian AREC dan ARCHIDEX di sini hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menggesa pemain industri dan pihak berkepentingan memanfaatkan peluang sepanjang acara empat hari itu untuk mempamerkan inovasi hartanah baharu dan baharu muncul serta memupuk kerjasama dalam kalangan pemain industri.
Beliau berkata kedua-dua acara berfungsi sebagai platform kerjasama bagi menangani cabaran dalam industri perumahan dan hartanah, dengan sasaran untuk membina sektor yang berdaya tahan, inklusif dan progresif.
"Kita percaya pada inovasi, bukan sebagai kemewahan, tetapi sebagai keperluan untuk daya tahan dan kemajuan. Daripada mempertingkatkan bangunan hijau dan reka bentuk penyesuaian iklim kepada memanfaatkan sistem tanah digital dan penyelesaian dengan teknologi hartanah, inovasi mesti menjadi enjin yang menggerakkan dasar perumahan dan strategi bandar.
"Inilah cara kita menjadikan bandar kita lebih pintar, pembangunan lebih cekap dan kehidupan komuniti lebih baik. Oleh itu saya menyeru semua negara anggota ASEAN, rakan kongsi industri dan organisasi antarabangsa untuk mengekalkan momentum ini menerusi kumpulan kerja, penyelidikan bersama, kemudahan pelaburan dan penilaian kemajuan tahunan," katanya.
Fadillah berkata beberapa bandar paling pesat berkembang di dunia terdapat di ASEAN, dengan jangkaan pertambahan lebih 70 juta orang penduduk bandar di rantau ini menjelang 2030, menjadikan jumlah unjuran kepada 373 juta.
Beliau berkata pertumbuhan pesat ini memberikan tekanan besar kepada perumahan, infrastruktur dan kelestarian sekali gus mewujudkan peluang untuk ASEAN menerajui dunia dalam membangunkan model hartanah yang bijak, inklusif dan mengutamakan iklim.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial