AM

Hari Sarawak: Perpaduan Asas Pembangunan Mampan Negeri – Abang Johari

21/07/2025 08:59 PM

KUCHING, 21 Julai (Bernama) -- Perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama menjadi asas kukuh dalam menjayakan pembangunan mampan negeri serta menuju status wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata sambutan Hari Sarawak tahun ini yang bertemakan “Sarawak Maju Makmur” mencerminkan komitmen kerajaan negeri dan masyarakat untuk memperkukuh hubungan erat antara satu sama lain. 

"Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 bagi menjamin kemakmuran sosioekonomi yang inklusif,” katanya menerusi laman Facebook Pejabat Premier Sarawak hari ini.

Perutusan berkenaan turut dimuatkan dalam buku atur cara rasmi sambutan Hari Sarawak 2025 peringkat negeri yang akan berlangsung di Miri esok. 

Abang Johari turut menyatakan komitmen kerajaan untuk memperkasakan ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI), memacu kelestarian alam sekitar serta membangunkan sektor utama berasaskan minyak dan gas, perladangan, pelancongan dan pertanian moden secara agresif.

Beliau berkata pendidikan berkualiti dan inklusif juga merupakan teras pembinaan modal insan.

“Justeru, bermula tahun hadapan, pendidikan percuma akan disediakan untuk semua pelajar Sarawak dalam bidang-bidang tertentu di universiti milik Kerajaan Sarawak. Ini bagi memastikan tumpuan pembelajaran dan meringankan beban kewangan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperjuangkan hak-hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak menjayakan sambutan Hari Sarawak tahun ini.

“Semoga Sarawak terus maju, makmur, dan kekal sebagai wilayah contoh keharmonian di Malaysia. Selamat Menyambut Perayaan Hari Sarawak 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan