AM

Kerajaan Luluskan 48 Projek Tenaga Boleh Baharu, Jana Nilai Pelaburan RM1.87 Bilion -- PETRA

18/07/2025 08:41 PM

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia telah meluluskan pembangunan bagi pelaksanaan 48 projek Tenaga Boleh Baharu (TBB) daripada sumber biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil dengan kapasiti sebanyak 181.25 megawatt (MW), di bawah mekanisme Tarif Galakan atau Feed-in Tariff (FiT).

PETRA dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek TBB yang diluluskan itu dijangka akan menjana nilai pelaburan berjumlah RM1.87 bilion dalam sektor TBB dan akan mula membekalkan tenaga elektrik hijau kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) seawal 2028. 

"Pelaksanaan projek TBB baharu ini merupakan sebahagian daripada komitmen PETRA untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam campuran tenaga negara kepada 70 peratus menjelang 2050.

"Usaha ini juga akan memperkukuh daya harap sistem bekalan elektrik negara melalui kepelbagaian sumber penjanaan dan penyediaan bekalan tenaga yang stabil dan konsisten," menurut kenyataan itu.

PETRA yakin inisiatif di bawah mekanisme FiT ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri TBB negara secara progresif dan positif, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemampanan, inovasi dan kesejahteraan bersama.  

Menurut PETRA, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan penawaran dan pembukaan permohonan untuk kelulusan tarif galakan berjumlah 190MW bagi tiga sumber TBB iaitu biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil yang dibuka dari 15 Jan hingga 19 Feb lepas bagi menyertai proses bidaan secara e-bidding.

Sebanyak 59 permohonan telah diterima dan 48 permohonan yang memenuhi kriteria teknikal dan kewangan yang ditetapkan telah diluluskan. 

Kelulusan itu merangkumi 20 projek dengan jumlah kuota 30.93MW untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber biogas, lapan projek dengan jumlah kuota 53.50MW (sumber biojisim) dan 20 projek dengan jumlah kuota 96.82MW (sumber hidrokuasa kecil).

Maklumat lanjut mengenai keputusan e-bidding di bawah mekanisme Tarif Galakan yang dikendalikan SEDA Malaysia itu boleh diperoleh melalui laman sesawang SEDA Malaysia di www.seda.gov.my. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan