LENGGONG, 17 Julai (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melancarkan Buku Panduan Pelaksanaan Amalan Hijau TVET@KKDW yang menyediakan hala tuju pelaksanaan amalan hijau di 281 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah kementerian itu.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata buku panduan itu dibangunkan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) Kerangka Pengurusan Amalan Hijau TVET@KKDW yang dianggotai wakil daripada semua institusi TVET di bawah kementerian berkenaan.
“Jawatankuasa ini telah mengadakan beberapa siri perbincangan strategik bermula 22 Mei lepas dalam usaha memperkasakan amalan hijau serta menjadikan institusi TVET di bawah KKDW sebagai kampus hijau yang progresif dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Hasil perbincangan berkenaan, KKDW telah bersetuju untuk membangunkan buku panduan itu yang menyediakan hala tuju jelas, sistematik dan berstruktur kepada semua institusi TVET di bawah KKDW dalam melaksanakan amalan kelestarian secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Amalan Hijau TVET@KKDW di Kolej Kemahiran Tinggi MARA di sini hari ini.
Rubiah berkata antara komponen utama yang digariskan dalam buku panduan itu ialah kecekapan tenaga dan air, pengurusan sisa secara mampan, pengangkutan rendah karbon, reka bentuk bangunan hijau serta integrasi pendidikan kelestarian dalam kurikulum.
“Komponen-komponen ini sejajar dengan prinsip dan pendekatan yang diketengahkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam dokumen "Greening Technical and Vocational Education and Training: A Practical Guide for Institutions" yang diterbitkan pada 2017,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan secara berfasa dan dinilai menggunakan indikator yang objektif selaras dengan prinsip pembangunan mampan jangka panjang.
“Sebagai permulaan, beberapa sesi libat urus telah pun dilaksanakan oleh Jawatankuasa TWG bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman terhadap panduan amalan hijau ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rubiah berkata KKDW juga akan memperkenalkan Sistem Penarafan Daun Hijau yang berperanan menilai institusi TVET berdasarkan tahap pencapaian dalam pelaksanaan amalan hijau.
“Penarafan diberikan antara satu hingga lima daun hijau, bergantung kepada skor pencapaian antara 51 peratus hingga 100 peratus berdasarkan instrumen penilaian ditetapkan.
“Institusi yang memperoleh skor di bawah 50 peratus belum layak menerima penarafan dan digalakkan untuk terus meningkatkan usaha ke arah amalan hijau,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial