SUNGAI PETANI, 15 Julai (Bernama) -- Penduduk di Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat sini memohon supaya tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah hakisan pantai yang semakin kritikal, yang dikhuatiri akan mengancam keselamatan mereka.
Salmah Abdul Rahman, 73, berkata dia menetap di kampung itu sejak lebih 40 tahun lepas dan kawasan belakang rumahnya dahulu adalah tanah lapang tempat bercucuk tanam.
“Dulu makcik masih boleh tanam ubi kayu, ubi keledek, tebu, pisang, namun sejak beberapa tahun lepas air laut naik semakin hampir dengan bahagian dapur rumah.
“Air masuk dalam rumah sekali dengan pasir tak kira siang atau malam, bila ombak besar memang akan masuk dalam rumah. Makcik terpaksa menimba untuk buang air bertakung,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Salmah berkata dia yang tinggal bersama anak lelaki berusia 40 tahun, sentiasa berwaspada kerana bimbang akan keselamatan mereka apabila ombak besar membadai rumah dan berharap agar pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu.
Seorang lagi penduduk, Rosminah Ahmad, 53, berkata dia yang tinggal bersama ibunya Jamaliah Ishak, 83, yang sudah uzur berasa sangat terancam apabila mengenangkan keadaan rumah yang semakin hampir dengan laut.
“Jarak terkini sekitar dua hingga tiga meter sahaja dengan air laut. Hakisan makin teruk... Ahad lepas adalah kejadian paling teruk dalam tahun ini.
“Air masa itu tak masuk dalam rumah sebab rumah tinggi tapi air bergenang sekeliling rumah. Sebab itu saya harap disegerakan pembinaan tembok batu agar dapat menahan ombak daripada terus menghakis tanah,” katanya.
Suhaida Abu Hasan, 44, pula berkata sudah 20 tahun dia menetap di kampung berkenaan dan keadaan hakisan pantai berhampiran rumah penduduk dilihat semakin serius.
“Kakak ipar saya terpaksa berpindah setelah bahagian belakang rumah mereka runtuh akibat dibadai ombak besar yang melanda September tahun lepas.
“Rumah saya pula tidak jauh dari rumah mereka, jadi saya harap sangat dapat dipercepatkan pembinaan tembok demi keselamatan penduduk di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Sungai Pial Ahmad Fauzi Othman berkata terdapat kira-kira 30 rumah yang terancam akibat hakisan pantai di kawasan berkenaan.
“Sejak lima hingga enam bulan lepas, keadaan makin kritikal. Ramai warga emas yang tinggal di sini termasuk orang kurang upaya dan penghidap penyakit kronik.
“Empat bulan lepas, ada satu tembok batu sepanjang 60 meter, namun hanya dapat mengurangkan kesan terhadap lima buah rumah, masih banyak rumah yang terancam,” katanya.
Ahmad Fauzi berkata dengan keadaan cuaca tidak menentu dan musim tengkujuh yang semakin hampir, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Pada Ahad lepas, Bernama melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menasihatkan orang awam, khususnya penduduk di pesisir pantai berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga berikutan fenomena ombak besar di sekitar pantai Tanjung Dawai dekat sini.
Sebelum itu, beberapa klip video tular di laman sosial yang memaparkan kejadian ombak besar di Kampung Huma di Tanjung Dawai dan ia mengundang pelbagai reaksi warganet yang menyuarakan kebimbangan, kerana ia berlaku hampir dengan kediaman penduduk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial