AM

Lelaki Hilang, Kereta Terjunam Di Sungai: Keluarga Sangka Gurauan

16/07/2025 12:15 AM

MUAR, 15 Julai (Bernama) -- Kehilangan seorang lelaki selepas kenderaannya ditemui terjunam ke dalam Sungai Tui di Jalan Bukit Kepong di sini petang tadi, pada awalnya disangkakan gurauan oleh keluarga.

Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang juga pempengaruh permotoran, dilaporkan hilang selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya ditemui di dasar sungai namun mangsa tidak berada di dalam kenderaan.

Adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, memberitahu Bernama abangnya dikenali sebagai orang yang suka bergurau dan membuat kejutan.

“Kami pada awalnya menyangka dia hanya bergurau seperti sebelum ini namun mulai risau apabila tidak dapat mengesannya dan lokasi kereta ditemui pula tidak jauh daripada tempat kami terakhir bertemu,” katanya. ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kali terakhir dia bertemu abangnya, yang lebih dikenali sebagai Ija, adalah pada kira-kira 2 petang semalam selepas mereka bergerak secara berasingan dari Johor Bahru ke Muar bagi urusan perniagaan.

“Kami bertolak dari Johor Bahru menaiki kenderaan berasingan atas urusan perniagaan. Saya ke tempat lain manakala abang memaklumkan mahu ke bengkel kawannya di Parit Jawa.

“Saya dimaklumkan oleh keluarga bahawa kali terakhir mereka berhubung dengannya adalah sekitar pukul 4 petang namun selepas itu dia gagal dihubungi sehingga malam,” katanya.

Tengku Abdul Aziz berkata dia dan kakak iparnya turut menghubungi pemilik bengkel tersebut namun dimaklumkan abangnya tidak datang ke situ seperti yang dirancang.

Terdahulu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh Penguasa Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan kenderaan tersebut pada 3.22 petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata usaha mencari mangsa giat dijalankan.

Polis turut meminta saksi kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan