IPOH, 12 Julai (Bernama) -- Ribuan ikan tilapia hitam yang ditemukan mati di Sungai Kinta pada 30 Jun lepas dipercayai bukan berasal dari habitat semula jadi sungai itu, sebaliknya dibuang ke dalam sungai oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim berkata siasatan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan Negeri mendapati ikan-ikan berkenaan berkemungkinan besar berasal dari kolam ternakan.
“Ikan yang mati itu kelihatan seragam dan bukan jenis ikan liar. Kita mengesyaki ia telah dibuang ke dalam Sungai Kinta, bukannya mati secara semula jadi akibat pencemaran.
“Hasil ujian kualiti air yang dijalankan JAS menunjukkan bacaan berada dalam julat baik dan tiada pencemaran yang boleh menyebabkan kematian mengejut hidupan akuatik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Grand Prix Memburu Ikan Asing anjuran Jabatan Perikanan Negeri Perak di Taman Dr. Seevenisagam di sini, hari ini.
Pada 30 Jun lalu, tular sebuah video berdurasi 30 saat yang memaparkan ribuan bangkai ikan tilapia hitam yang mati dan dijumpai oleh masyarakat di Sungai Kinta berhampiran Kuil Guan Yin, Ipoh.
Teh menyifatkan perbuatan membuang bangkai ikan ke dalam sungai sebagai tidak bermoral kerana menjejaskan ekosistem serta memberi kesan kepada penduduk yang menggunakan air sungai untuk aktiviti harian.
“Jika ikan ternakan mati, penternak perlu bertanggungjawab dan melupuskannya dengan betul, seperti menanam bangkai ikan tersebut, bukannya membuang ke dalam sungai,” tegasnya.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali Manap berkata pihaknya telah bertindak segera mengeluarkan bangkai ikan dari kawasan terjejas.
“Tindakan pantas ini penting bagi mengelakkan pencemaran sekunder dan mengurangkan kesan terhadap hidupan air lain,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau pihak yang terlibat dalam kejadian itu.
“Kita berharap orang ramai, khususnya pengusaha akuakultur, lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil jalan mudah yang boleh menjejaskan ekosistem serta sumber air negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial