KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Legasi pelukis dakwat Cina dan pendidik seni berpengaruh negara, Chung Chen Sun diangkat semula menerusi Pameran Projek Arkib: Chung Chen Sun yang sedang berlangsung dari 4 Mac hingga 1 Sept ini di Galeri Potret, Balai Seni Negara.
Dalam kenyataan hari ini, Balai Seni Negara memaklumkan pameran tersebut merupakan siri ketiga Projek Arkib Balai Seni Negara yang menampilkan pelbagai bahan arkib seperti foto, lakaran, katalog dan wawancara bagi mendalami proses kreatif tokoh seni berkenaan.
“Selain karya dakwat Cina yang menjadi identitinya, pameran ini turut mengetengahkan lukisan minyak dan pastel yang jarang dipamerkan, memperlihatkan evolusi gaya seni beliau sepanjang kariernya,” menurut kenyataan itu.
Chung yang juga pengasas Malaysian Institute of Art (MIA) telah memberikan sumbangan besar dalam bidang seni lukis dan pendidikan seni di Malaysia. Pameran ini sebahagian daripada inisiatif Balai Seni Negara untuk memelihara, mendokumentasikan dan mempersembahkan warisan seni negara kepada masyarakat.
Menurut Balai Seni Negara, pameran itu bukan sekadar menjadi rujukan sejarah malah memperkaya pemahaman tentang sumbangan Chung terhadap seni tempatan dalam konteks sejarah dan budaya Malaysia.
“Menariknya pameran ini disusun berdasarkan falsafah Konfusianisme sebagai kerangka utama, dengan tema pameran dibahagikan kepada enam segmen mencerminkan pengaruh nilai moral Sanjiao (Tiga Ajaran) dalam karya serta pemikiran Chung Chen Sun,” menurut kenyataan tersebut.
Antara segmen utama adalah Nasional ke Antarabangsa, Pertukaran Budaya dan Seni Antara Malaysia dan China, serta Modernisasi Lukisan Dakwat: Gabungan Seni Timur dan Barat yang membantu pengunjung memahami keseluruhan pameran dengan lebih jelas.
“Pameran ini bukan sekadar menelusuri perjalanan seni seorang tokoh tetapi turut menghubungkan seni, pendidikan, dan budaya dalam ruang penuh makna,” menurut kenyataan itu.
Pengunjung berpeluang menyelami warisan seni dan intelektual tokoh berkenaan menerusi artifak, naratif dan pengalaman pameran yang mendalam. Masuk adalah percuma sepanjang pameran berlangsung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial