JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Kerajaan Johor akan membawa isu kekurangan petugas kesihatan di tiga hospital utama negeri ini ke perhatian Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu pertemuan rasmi pada Jumaat depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata langkah itu diambil susulan laporan menyeluruh yang diterima daripada Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pasir Gudang, yang kesemuanya kini berdepan masalah sama iaitu kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan operasi serta menambah beban kepada petugas sedia ada.
“Kita ambil maklum dengan serius beban yang ditanggung petugas kesihatan dan sudah tiba masanya KKM beri perhatian yang sewajarnya. Jumaat depan, kita akan bawa data lengkap dan desakan agar penyelesaian segera dapat dicapai,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Beliau berkata mesyuarat secara sidang video turut diadakan semalam bagi menyelaras tindakan susulan melibatkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Mohtar Pungut, Pengarah HSA Dr Mohamad Nizam Subahir, Pengarah HSI Dr Zuraini Zainal dan Pengarah Hospital Pasir Gudang Dr Suhaila Abu Hassan serta beberapa pegawai kanan lain.
Ling berkata pihaknya juga akan memastikan pelaksanaan fasa operasi Hospital Pasir Gudang berjalan lancar, termasuk pembukaan pada 1 Ogos ini dan pengoperasian sepenuhnya menjelang Mac 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial