JERTIH, 5 Julai (Bernama) -- Orang ramai yang menziarahi rumah keluarga dan pusara Allahyarham Nurly Sahirah Azman, seorang daripada mangsa kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik bulan lepas diingatkan supaya sentiasa menjaga adab dan menghindari perkara yang bertentangan dengan agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata meskipun teruja dengan pelbagai kisah berkaitan Allahyarham yang antaranya meninggal dunia dalam keadaaan memeluk erat al-Quran, namun orang ramai perlu menjaga akidah dan sensitiviti keluarga.
“Sudah tentu ibu bapa Allahyarham harap sangat perkara ini (tetamu menjaga adab) dan mereka tidak mahu kebaikan yang ditunjukkan Nurly Sahirah menjadikan masyarakat kita melakukan perkara-perkara khurafat.
“Saya minta masyarakat supaya beradab, buat perkara yang disuruh agama, doakan Allahyarham. Ini (amalan khurafat) bukan cara penghargaan yang kita tunjukkan kepada arwah,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Allahyarham Nurly Sahirah di Kampung Gong Pasir, Kerandang di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata masyarakat diminta merujuk golongan ilmuwan atau pandangan mereka yang berautoriti seperti mufti di negeri-negeri sebelum melakukan sesuatu perkara ketika menziarahi kubur.
Media sebelum ini melaporkan tali penghadang terpaksa dipasang di pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir susulan tindakan segelintir individu melakukan perbuatan khurafat di kawasan berkenaan termasuk mengambil tanah kubur dan disapu ke muka.
Selain itu, keluarga Allahyarham juga memutuskan untuk tidak menerima tetamu bermula 2 Julai hingga hari ini bagi memberi ruang kepada mereka terutama bapa serta ibu arwah, Azman Mohamad, 63, dan Kamariah Abdul Latif, 60, untuk berehat.
Sementara itu, Kamariah ketika ditemui pemberita meminta orang ramai yang ingin mengunjungi rumahnya bagi melihat sendiri naskhah al-Quran tulisan tangan Allahyarham setelah sesi kunjungan dibuka semula esok supaya mematuhi masa lawatan yang ditetapkan.
“Memang kita (keluarga) gembira dan mengalu-alukan kedatangan tetamu kerana bagi kami mereka datang bukan atas jemputan kami tetapi jemputan daripada Allah.
“Cuma kami minta datang antara 9 pagi hingga 6 petang sahaja. Pada awal pagi, kami perlu menguruskan beberapa perkara seperti kemas rumah, menyiram pokok, bersarapan dan sebagainya. Selepas 6 petang pula, kami perlu buat persiapan untuk makan malam dan solat maghrib,” katanya.
Nurly Sahirah merupakan antara 15 pelajar UPSI yang maut dalam nahas berkenaan yang berlaku pada awal pagi 9 Jun lepas, apabila bas yang disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di JRTB.
Nahas itu menyebabkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial