AM

Pengendali Bas Disaran Lebih Tegas Dengan Pemakaian Tali Pinggang Keledar

03/07/2025 05:35 PM

KUALA TERENGGANU, 3 Julai (Bernama) -- Syarikat pengendali perkhidmatan bas awam perlu lebih tegas dalam memastikan penumpang mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar.

Ketua Wilayah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Wilayah Timur Mohammad Fakhri Mansor berkata langkah kerajaan mewajibkan pemakaian tali pinggang bukan sekadar memenuhi tuntutan undang-undang, tetapi juga untuk mewujudkan budaya keselamatan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata APAD akan terus mengaktifkan penganjuran program kecekapan pemandu, terutama membabitkan pemandu bas ekspres.

"Kita sudah menganjurkan tiga siri kursus kecekapan pemandu melibatkan 100 pengendali bas daripada 80 syarikat pengangkutan awam di seluruh Wilayah Timur. Kita jangka kursus keempat akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membudayakan keselamatan jalan raya.

"Kita tekankan pemakaian tali pinggang kerana ia wajib untuk semua, bukan hanya pemandu, tetapi juga penumpang," katanya pada majlis perasmian Bas Ekpress Baru Darul Iman di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Urusan Darul Iman Ekpress Laili Ismail.

Sementara itu, Laili berkata pihaknya menyambut baik langkah kerajaan itu dan mengeluarkan arahan kepada semua pemandu bas syarikat untuk memastikan penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan.

"Semua bas kita dilengkapi dengan tali pinggang keledar dan kamera litar tertutup untuk memantau pematuhan undang-undang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan