AM

STB, Royal Brunei Meterai MoC Tingkat Ketersambungan Udara Serantau Dan Pelancongan

30/06/2025 08:17 PM

KOTA KINABALU, 30 Jun (Bernama) -- Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Royal Brunei Airlines (RB) memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bagi meningkatkan ketersambungan udara dan memperkukuh aliran pelancongan antara Sabah, Brunei serta pasaran antarabangsa.

MoC berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jeffery Jimit dan Ketua Pegawai Eksekutif RB Kapten Sabirin Abd Hamid di Ibu Pejabat Korporat RB di Bandar Seri Begawan.

Julinus berkata menerusi kerjasama terbabit, kedua-dua pihak akan berusaha untuk meningkatkan ketersambungan penerbangan antara Sabah dan rantau utama termasuk Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), ASEAN, Timur Tengah, Oceania, United Kingdom dan India menjelang 2028.

“Bagi merancakkan permintaan, STB dan RB akan melaksanakan beberapa inisiatif yang disasarkan secara bersama seperti jelajah promosi, lawatan pengenalan serta kempen taktikal dan kesedaran di pasaran terpilih.

“MoC itu juga memudahkan sokongan terhadap pengembangan operasi RB. STB turut komited bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri yang berkaitan serta pihak pengawal selia penerbangan yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerjasama berkenaan dibentuk untuk menyokong strategi pembangunan laluan penerbangan RB, di samping membina hubungan jangka panjang dan memberi manfaat bersama selaras dengan matlamat pelancongan Sabah.

“Selain itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam analisis dan penilaian pasaran serta bertindak secara strategik terhadap trend pelancongan dan permintaan perjalanan. Penandatanganan MoC ini mencerminkan visi kami untuk menjadikan Sabah mudah diakses, di samping memperkukuh hubungan pelancongan dengan Brunei dan negara lain,” katanya.

Sementara itu, Sabirin berkata Sabah amat istimewa dalam sejarah RB.

“Sempena sambutan ulang tahun ke-50 kami tahun ini, kami teringat Kota Kinabalu adalah antara destinasi pertama kami ketika memulakan operasi pada 14 Mei 1975.

“Selama beberapa dekad, kami telah menjalin kerjasama dengan STB melalui pelbagai inisiatif termasuk kempen pemasaran bersama hinggalah ‘FAM trip’ dengan matlamat bersama untuk mempromosikan Sabah dan Borneo sebagai destinasi pelancongan unggul,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan