AM

Klinik Kesihatan Baharu Akan Dibina Di Simpang Layar - Uggah 

28/06/2025 04:06 PM

KUCHING, 28 Jun (Bernama) -- Sebuah Klinik Kesihatan baharu bernilai RM16 juta akan dibina di kawasan Simpang Layar, Betong, menurut Timbalan Premier Sarawak  Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah berkata klinik baharu itu akan melengkapkan dua lagi fasiliti kesihatan yang bakal dibina di kawasan Spaoh, Betong iaitu sebuah klinik bernilai RM36 juta dan pusat hemodialisis dengan kos RM5 juta.

Beliau berkata pembangunan itu hasil daripada penubuhan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

“Kita telah menyaksikan banyak projek berimpak tinggi dilaksanakan di kawasan ini. Satu lagi projek yang amat dinantikan ialah siapnya jalan dari Sri Aman ke bandar Betong.

“Jalan ini, yang merupakan sebahagian daripada projek Jalan Utama Kedua ( STR), dijangka siap tahun depan dan akan mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada kira-kira 30 minit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Uggah sekali lagi menegaskan komitmennya dalam memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi bagi menjana pendapatan dan menggalakkan kecemerlangan pendidikan di Betong.

“Kita melihat pertanian moden sebagai hala tuju masa depan. Sehubungan itu, kita telah mengenal pasti kawasan seluas lebih 404 hektar untuk taman agro dan beberapa syarikat juga telah dikenal pasti untuk mengetuai pembangunan ini bersama pemilik tanah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan