POLITIK

‘Cah Keting’ Jangan Berulang, UMNO Perlu Bersatu Hadapi PRU16 - Asyraf Wajdi

27/06/2025 10:47 PM

PASIR MAS, 27 Jun (Bernama) -- Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan seluruh ahli dan kepimpinan parti agar terus bersatu dan mengelakkan perpecahan demi memastikan kejayaan dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Beliau berkata kekalahan UMNO pada pilihan raya sebelum ini bukan disebabkan kekuatan pihak lawan, sebaliknya berpunca daripada pergeseran dalaman termasuk amalan 'cah keting' dalam kalangan ahli sendiri.

“Itu yang kita tidak mahu ulangi pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi menegaskan bahawa jentera parti perlu diperkukuh dan terus memainkan peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengulas dakwaan kononnya terdapat desakan agar UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau berkata Majlis Tertinggi UMNO setakat ini kekal komited mempertahankan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dalam sejarah UMNO, kita jarang menghadapi pilihan raya secara bersendirian kerana kestabilan dan kemakmuran negara lebih mudah dicapai melalui kerjasama politik yang inklusif dan menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan