LAHAD DATU, 24 Jun (Bernama) -- Pembukaan Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom di Kawasan Konservasi Lembah Danum di sini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Sabah terhadap usaha pemuliharaan serta penyelidikan biodiversiti di negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata inisiatif oleh Yayasan Sabah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri itu selari dengan matlamat mewujudkan persekitaran penyelidikan yang kondusif di samping memastikan pengurusan hutan secara lestari.
"Oleh itu, saya ingin mengulangi sokongan penuh kerajaan negeri terhadap usaha pemuliharaan dan penyelidikan seperti ini.
"Saya amat berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menyalurkan lebih banyak sokongan khususnya dalam bentuk pembiayaan berterusan menerusi Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) serta dalam Rancangan Malaysia Ke-13 akan datang," katanya dalam ucapan perasmian pusat itu di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya, juga Menteri Kerja Raya Sabah.
Hajiji berkata penubuhan pusat itu melalui peruntukan RM5.6 juta daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar bawah Rancangan Malaysia Ke-12 adalah sejajar dengan teras Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya khususnya dalam pemuliharaan alam sekitar serta pembangunan lestari.
Beliau yakin melalui sokongan daripada semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, kawasan pemuliharaan seperti Lembah Danum dan keseluruhan Landskap Hutan Hujan DaMaI (Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Imbak Canyon) akan terus kekal sebagai khazanah biodiversiti dunia selain menjadi pusat penyelidikan, pendidikan serta pemuliharaan terulung negara.
Ketua Menteri Sabah itu turut memuji pencapaian cemerlang Yayasan Sabah mengurus dan memelihara Kawasan Konservasi Lembah Danum serta lokasi lain sejak sekian lama yang bukan sahaja memainkan peranan penting dalam menjaga kawasan konservasi hutan simpan perlindungan tetapi juga mengangkat nama Sabah ke persada antarabangsa.
Beliau berkata stesen penyelidikan yang ditubuhkan di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua di bawah Jawatankuasa Pengurusan Jabatan Perhutanan Sabah yang turut melibatkan Universiti Malaysia Sabah terletak di lokasi strategik antara kawasan projek Face The Future, Netherlands (INFAPRO) dan Pusat Pembelajaran Lembah Danum.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri Sabah akan terus melaksanakan program pembangunan bercirikan kelestarian hijau dengan mengutamakan penggunaan dan pengurusan sumber asli bertanggungjawab selain memastikan perlindungan alam sekitar, kesejahteraan sosial serta pertumbuhan ekonomi untuk generasi akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial