AM

STPM: Semangat, Disiplin Luar Biasa Kunci Kejayaan Cemerlang Amanda Dan Ivan

24/06/2025 08:54 PM

KUCHING, 24 Jun (Bernama) -- Berbekalkan semangat kental, disiplin luar biasa dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga membolehkan Amanda Dania Arthur dari SMK Green Road muncul antara calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang mencatat keputusan cemerlang.

Di sebalik tekanan dan cabaran, Amanda melakar kejayaan dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 sekali gus meletakkannya dalam kalangan pelajar terbaik peringkat negeri.

Amanda berkata tiada rahsia besar di sebalik kejayaannya, namun keazaman, konsistensi serta sikap menghormati guru dan keberkatan ibu bapa memainkan peranan besar.

“Saya amalkan belajar dua jam setiap hari dan buat jadual waktu belajar untuk pastikan masa saya diurus dengan baik.

“Jadual itu sangat penting sebab ia bantu saya fokus dan tidak membazir masa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM di sini hari ini.

Satu lagi amalan Amanda adalah bangun seawal 3 pagi setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran.

“Pada waktu itu, minda saya lebih segar dan bersedia menyerap maklumat, saya juga menggunakan teknik menghafal melalui 'kata kunci' untuk membantu daya ingatan.

“Saya elakkan daripada pegang telefon semasa belajar, fokus saya hanya untuk membaca dan memahami. Lepas ulang kaji waktu pagi, saya akan bersiap dan dalam perjalanan ke sekolah, saya akan cuba ingat semula apa yang saya baca tadi,” katanya yang merancang melanjutkan pengajian dalam jurusan Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Seorang lagi pelajar cemerlang dari sekolah yang sama, Ivan Jong Zhen Jin yang juga mencatat keputusan PNGK 4.0, menyifatkan konsistensi sebagai penentu utama kejayaannya.

“STPM memang peperiksaan yang sangat mencabar, tapi saya percaya dengan usaha yang berterusan dan tidak putus asa, kita boleh berjaya.

“Saya memberi tumpuan penuh kepada pelajaran dari Isnin hingga Jumaat, manakala hujung minggu saya gunakan untuk berehat dan menyegarkan semula mental serta emosi.

“Saya menyertai Boys' Brigade dan itu bantu saya seimbangkan antara kokurikulum dan akademik. Setiap kali kembali ke sekolah selepas hujung minggu, saya sesuaikan semula mood untuk belajar,” katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam jurusan Perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pengarah Pendidikan Sarawak Omar Mahli berkata pada tahun ini, daripada 5717 calon yang hadir menduduki peperiksaan STPM, sebanyak 88 calon memperoleh PNGK 4.0 berbanding 92 calon pada 2024.

Beliau berkata Kong Wei Hang dari SMK Sungai Merah, Sibu, pula dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik STPM 2024 Aliran Sains.

“Pelajar ini telah dijemput untuk menerima pengiktirafan di Majlis Peperiksaan Malaysia pada hari ini di Putrajaya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan