AM

Pencen Penakat Arwah Raja Nurfatimah Mawar Jadi 'Peneman' Kehidupan Ibu

24/06/2025 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Faedah Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjadi tanda kasih dan warisan terakhir Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian Allahyarhamah Raja Nurfatimah Mawar Muhamad buat ibunya Katijah Muda, 69. 

Walaupun telah meninggal dunia pada Ahad lepas, caruman arwah kepada Perkeso membolehkan ibunya terus menerima pencen bulanan lebih RM1,300 sebagai sokongan kelangsungan hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pemergian Allahyarhamah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga tetapi industri media tanah air yang telah menerima baktinya lebih tiga dekad.

“Hasil keprihatinan majikan untuk mencarum, kita dapat menunaikan hasrat Allahyarhamah bagi menjaga ibunya menerusi penyaluran faedah ini. Semoga ia membantu mencukupkan mana yang kurang dan meringankan beban yang ditanggung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkeso turut menyerahkan baucar faedah pengurusan jenazah dan makluman bayaran pencen penakat kepada keluarga arwah pada program Ziarah Prihatin yang diketuai Pengarah Perkeso Terengganu Suhara Mustaffa semalam. 

Raja Nurfatimah, 49, yang meninggal dunia di kediamannya dekat Sungai Long, Kajang, Selangor selepas mengadu sakit dada dan sukar bernafas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Panjang di sini kira-kira 11 pagi pada Isnin lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan