AM

SMCV, Hospital Dalin Tzu Chi Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Penjagaan Kesihatan

24/06/2025 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) dan Hospital Dalin Tzu Chi, sebuah institusi Taiwan tidak berasaskan keuntungan di bawah Yayasan Perubatan Tzu Chi hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memeterai kerjasama rentas sempadan dalam meningkatkan kecemerlangan penjagaan kesihatan.

MoU itu dimeterai di SMCV dan disaksikan Pengarah Urusan Operasi Hospital dan Penjagaan Kesihatan Sunway di Kumpulan Perubatan Sunway (SHG) Dr Khoo Chow Huat,  Ketua Pegawai Eksekutif SMCV Susan Cheow, Ketua Pegawai Operasi SMCV Tee Siew Ching, Pengarah Perubatan merangkap Pakar Perubatan Kecemasan SMCV Dr Wee Tong Ming dan Ketua Tanggungjawab Korporat dan Kelestarian di Pejabat Kumpulan Pengurusan Penjagaan Kesihatan SHG Tracia Lee Chooi Hsia.

Turut hadir wakil daripada kepakaran perubatan utama termasuk Pakar Perunding Bedah Saraf Dr Mah Jon Kooi, Pakar Perunding Ortopedik, Trauma dan Pakar Bedah Tulang Belakang Dr Chang Kok Chun, Pakar Perunding Gastroenterologi, Hepatologi dan Pakar Perubatan Dalaman Dr Tee Teong Jin dan pihak pengurusan SMCV lain.

Mewakili Hospital Dalin Tzu Chi ialah Pakar Bedah Saraf dan Timbalan Penyelia Dr Chen Jin-Cherng, Pakar Bedah Ortopedik dan Pengarah Pembedahan Tulang Belakang Dr Yang Chang-Chern, Pakar Bedah Kolorektal dan Pengarah Pembedahan Kolon dan Rektum Dr Hsu Ta-Wen, Pengarah Strategi & Perancangan di Pusat Perubatan Antarabangsa Dr Shen Szu-Ching, Pengurus Pusat Perubatan Antarabangsa Chen Tzu-Ying dan wakil daripada Yayasan Taiwan Buddhist Tzu Chi Malaysia.

SMCV memaklumkan melalui perjanjian ini, kedua-dua institusi berkenaan akan bekerjasama untuk melaksanakan inisiatif pertukaran klinik yang direka  bagi mengukuhkan kemahiran klinikal, menyeragamkan amalan perubatan berkualiti tinggi dan menyokong pendidikan berterusan bagi ahli penjagaan kesihatan profesional di kedua-dua institusi berkenaan.

“Kepakaran perubatan Hospital Dalin Tzu Chi merangkumi beberapa bidang kepakaran, termasuk kesihatan pencernaan, ortopedik dan pembedahan invasif minimum untuk tulang belakang dan kolorektal. 

“Dengan perkongsian kemahiran ini, SMCV dan Hospital Dalin Tzu Chi dapat mempertingkat perkhidmatan penjagaan pesakit, mendapat hasil rawatan lebih baik serta memperkenal teknik inovatif yang akan memberi manfaat kepada pesakit di rantau ini,” menurut SMCV dalam kenyataan.

SMCV memaklumkan kerjasama ini akan memudahkan usaha penyelidikan bersama antara SMCV dan Hospital Dalin Tzu Chi, membolehkan ujian klinikal untuk pelbagai pusat kecemerlangan serta penerbitan penyelidikan antarabangsa.

Menurut SMCV, kedua-dua hospital ini menyasarkan untuk memajukan ketepatan ujian dan menambah baik protokol rawatan melalui pertukaran kepakaran dan pengetahuan perubatan serta hasil perubatan.

“Usaha ini bukan saja akan menyumbang kepada pengetahuan dan perubatan global, tetapi juga meletakkan asas untuk kemajuan perubatan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Dr Wee berkata selaras dengan pendekatan mengutamakan pesakit, MoU berkenaan turut memperkenalkan perjanjian rujukan pesakit dua hala bagi kes rumit, kesinambungan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan perubatan pencegahan.

“Perjanjian ini membolehkan kedua-dua hospital memanfaatkan kemahiran satu sama lain dan menyediakan penjagaan tepat pada masanya yang diselaraskan untuk pesakit dengan keperluan khusus.

“Dengan protokol pemindahan kecemasan dan kepakaran merentasi institusi, kami boleh memastikan pesakit mendapat manfaat daripada penjagaan perubatan lebih efisien serta hasil rawatan yang lebih baik,” katanya.

Selain itu, MoU berkenaan turut mewujudkan kerangka untuk penanda aras bersama dalam amalan hospital hijau serta pembangunan petunjuk prestasi utama (KPI) yang menumpukan kepada ESG.

Hospital Dalin Tzu Chi telah menjadi perintis dalam kelestarian alam sekitar dengan menyelaraskan operasi hospital mereka dengan 10 matlamat Global Green and Healthy Hospitals, serta melaksanakan intervensi berimpak dalam aspek tenaga, sisa, makanan dan pengangkutan sebagai sebahagian daripada komitmen Race to Zero menjelang 2050.

Sebagai cerminan komitmen terhadap penjagaan kesihatan lestari alam sekitar, SMCV terus berusaha meningkatkan impak alam sekitarnya dan memperkasa amalan pengurusan hospital hijau.

Dr Khoo berkata kerjasama ini turut menyokong matlamat kelestarian alam sekitar yang sememangnya diutamakan SHG dan menyumbang kepada pembinaan ekosistem penjagaan kesihatan lebih efektif dan bertanggungjawab.

“Ini sememangnya menjadi sebahagian daripada pendekatan SHG untuk memacu kemajuan bukan sahaja dalam kalangan hospital kami, tetapi juga melalui kerjasama yang dapat membantu meningkatkan kualiti penjagaan dan penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SMCV turut bersetuju dengan pandangan berkenaan dan turut memberi penekanan mengenai kolaborasi rentas sempadan yang mengukuhkan hubungan antara negara dan memperkasa usaha menerapkan amalan terbaik global untuk menyampaikan penjagaan pesakit yang menepati piawaian antarabangsa untuk jangka panjang.

Cheow berkata melalui kerjasama ini, SMCV terus memperkukuh komitmennya dalam menyediakan penjagaan kesihatan cemerlang dan mengutamakan pesakit sambil terus memperluas keupayaannya bagi memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berubah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan