DUNIA

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Ekoran Ketidaktentuan Di Timur Tengah

23/06/2025 07:51 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin apabila penglibatan AS dalam perang antara Israel dan Iran telah meningkatkan permintaan terhadap aset selamat seperti dolar AS, kata penganalisis.

AS telah melakukan serangan udara ke atas kemudahan nuklear Iran pada Ahad.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2915/2980 berbanding dolar AS daripada 4.2505/2565 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.25 peratus kepada 98.958 mata berikutan risiko geopolitik yang memuncak di Timur Tengah telah menimbulkan sentimen berhati-hati dalam kalangan peniaga.

Beliau berkata harga minyak mentah Brent kekal tinggi apabila Parlimen Iran meluluskan langkah untuk menutup Selat Hormuz sekali gus akan mengganggu bekalan minyak mentah dari Timur Tengah sekiranya penutupan itu benar-benar dilaksanakan.

Bagaimanapun, keputusan muktamad terletak pada Majlis Keselamatan Tertinggi Negara Iran, katanya.

Ketika laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 0.77 peratus kepada US$77.48 setong.

“Pada masa ini, kalangan peniaga dan pelabur sedang meneliti perkembangan daripada kebuntuan rundingan Israel-Iran dan sama ada krisis itu akan memuncak sehingga menjadi keadaan yang jauh lebih serius,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, ringgit ditutup rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9028/9074 daripada 2.9245/9289 ketika ditutup pada Jumaat lepas namun ringgit susut berbanding pound British kepada 5.7437/7524 daripada 5.7356/7437.

Ringgit juga rendah berbanding euro kepada 4.9236/9311 daripada 4.9000/9069.

Ringgit juga diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit domestik sedikit susut berbanding peso Filipina kepada 7.44/7.46 daripada 7.43/7.45 ketika ditutup pada Jumaat lepas, dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 260.2/260.7 daripada 259.2/259.7.

Ringgit juga lemah berbanding baht Thailand kepada 12.9998/13.0250 daripada 12.9727/9969 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3188/3243 daripada 3.3088/3140.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan