SHAH ALAM, 23 Jun (Bernama) -- Kesatuan Kakitangan Ladang-Ladang Seluruh Tanah Melayu (AMESU) mencatat sejarah tersendiri apabila memeterai enam Perjanjian Kolektif (CA) secara serentak dengan majikan dalam sektor perladangan hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian melibatkan majikan daripada Persatuan Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA), IOI Group of Companies, Dara Lam Soon Sdn. Bhd., Arah Kawasan Sdn Bhd, HK Gua Musang Sdn. Bhd. dan YPJ Plantations Sdn Bhd yang berlangsung di sini itu turut disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Terdahulu, Sim dalam ucapannya berkata AMESU yang ditubuhkan sejak 1927 adalah antara kesatuan tertua yang mewakili lebih 5,000 pekerja manakala MAPA pula merupakan wakil kepada 120 syarikat perladangan utama di seluruh negara.
"Majlis ini dianggap pencapaian luar biasa dalam sejarah perjuangan pekerja kerana buat kali pertama enam CA berjaya dimeterai serentak.
"Perjanjian ini juga bakal menambah manfaat lain dalam meningkatkan produktiviti dan menambah baik kesejahteraan warga kerja dalam sektor perladangan," katanya.
Sim berkata dengan perjanjian itu, semua ahli AMESU bakal menikmati kenaikan gaji baharu hingga 12 peratus.
Beliau berkata lebih menarik, kenaikan itu dikira bermula pada 1 Jan lepas dengan pekerja akan menerima tunggakan kenaikan antara RM3,000 hingga RM10,000 bergantung pada gred jawatan, tempoh perkhidmatan dan kadar elaun masing-masing.
Sim berkata menerusi perjanjian itu, pekerja yang dilindungi mengikut CA antara AMESU, MAPA dan syarikat perladangan terbabit tidak lagi tertakluk kepada kadar gaji minimum RM1,700 sebulan.
Beliau berkata hal ini kerana struktur gaji yang dipersetujui dalam perjanjian itu adalah lebih tinggi, iaitu dengan gaji permulaan RM1,800 sebulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial