AM

Jadual Tarif Elektrik Baharu Bukti Reformasi Besar Sektor Tenaga Negara - Fahmi

22/06/2025 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu mulai 1 Julai ini disifatkan sebagai antara bukti komitmen kerajaan melaksanakan reformasi besar dalam sektor tenaga negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata langkah tersebut selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dan pengurangan pelepasan karbon menjelang 2050.

“Di bawah jadual tarif baharu ini, sebanyak 85 peratus pengguna domestik pemilik akaun dijangka terus menikmati kadar elektrik yang sama atau lebih rendah, sekiranya penggunaan tidak melebihi 1,000 kilowatt jam sebulan bermula 1 Julai 2025.

“Inilah antara reformasi besar yang sedang digerakkan secara bersepadu oleh kerajaan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ini membuktikan bahawa dalam membawa pembaharuan, manfaat kepada rakyat masih menjadi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kita MADANI peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park, Pantai Dalam, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan, lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang telah diluluskan kerajaan.

Menurut ST, tarif tersebut akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Dis 2027 mengikut kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.

Suruhanjaya itu memaklumkan perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) melibatkan penstrukturan semula tiga komponen iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api.

Pelarasan kadar purata tarif asas ditentukan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh RP4, dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024, menjadikan purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding tempoh RP3.

Terdahulu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai merasmikan Karnival Kita MADANI yang bertujuan mendekatkan masyarakat dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan menerusi pendekatan santai yang mengetengahkan isu semasa, dasar serta inisiatif kerajaan berlandaskan konsep Malaysia MADANI.

Antara pengisian program termasuk Jualan RAHMAH dan Agro MADANI, pertandingan sukan rakyat dan kanak-kanak serta pameran membabitkan 21 agensi kerajaan termasuk kaunter bayaran saman trafik dan pembaharuan lesen memandu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan