TEMERLOH, 19 Jun (Bernama) -- Sebanyak 2,000 pelajar tahfiz di seluruh negeri ini menyertai Program Himpunan Huffaz Pahang 3.0 Solidariti Palestin sempena Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang (IMP) 2025 kepada Kluster Agama di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata menerusi program itu, kerajaan negeri menyalurkan bantuan sebanyak RM2,000 kepada setiap 179 maahad tahfiz, selain RM100 kepada setiap pelajar yang hadir.
“Bagi pelajar yang tidak dapat hadir hari ini, insya-Allah pihak kerajaan negeri akan membuat susulan sama ada melalui penganjuran majlis khas atau menjemput mereka ke jabatan,” katanya kepada Bernama di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah.
Syed Ibrahim berkata program berkenaan bukan sahaja menjadi platform penyaluran bantuan kepada pelajar tahfiz, malah turut memperlihatkan semangat solidariti rakyat negeri ini terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Kita bersyukur kerana semua maahad tahfiz di Pahang memberikan kerjasama yang sangat baik. Program ini juga menjadi medan untuk menyatakan bahawa kita sentiasa bersama mereka (rakyat Palestin) melalui doa dan munajat yang dipanjatkan sepanjang majlis berlangsung,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial