AM

SIS Forum: Sultan Selangor Zahir Kekecewaan, Dukacita Sebahagian Keputusan Mahkamah Persekutuan

19/06/2025 10:38 PM

SHAH ALAM, 19 Jun (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan dan dukacita terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini berhubung fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor tidak terpakai kepada Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia, pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya kepada individu. 

Perkara itu dizahirkan baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini. . 

Sehubungan itu, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum Malaysia tidak lagi menggunakaan perkataan 'Sisters in Islam' ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan 'Islam' tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut.

“Baginda menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan 'Islam' dalam nama dan penerbitan SIS Forum Malaysia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam,” menurut hantaran itu.

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan SIS Forum Malaysia dan pengasas bersamanya Zainah Mahfoozah Anwar dalam tindakan mereka yang mencabar fatwa dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 mengetepikan fatwa berkenaan, sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi.

Sementara itu, Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin dalam kenyataan berkata MAIS tidak sependapat dengan sebahagian daripada keputusan Mahkamah Persekutuan itu khususnya yang memutuskan bahawa fatwa bertarikh 31 Julai 2014 berkenaan hanya terpakai kepada individu tetapi tidak terpakai kepada SIS Forum Malaysia, pertubuhan atau institusi.

Beliau berkata MAIS menzahirkan rasa dukacita kerana keputusan tersebut secara tidak langsung mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan hukum syarak.

“MAIS juga menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.

“Di samping itu, jika perkara ini dibiarkan berterusan ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam,” katanya.

Salehuddin berkata MAIS bersetuju dan menyokong penuh penghakiman bertentangan daripada Hakim Datuk Abu Bakar Jais apabila beliau menyatakan bahawa bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berhubung dengan fatwa itu adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan kepada pendekatan hal perkara.

“Beliau (Abu Bakar) juga menyatakan walaupun dalam kes ini syarikat yang terlibat bukan merupakan 'orang sebenar' atau 'natural person' yang boleh menganut agama Islam namun syarikat ini adalah tertakluk kepada fatwa.

“Ini berdasarkan kepada nama SIS iaitu 'Sisters in Islam' yang jelas menunjukkan identiti Islam serta aktiviti syarikat ini yang mengeluarkan penerbitan dan kenyataan tentang hal-hal berkaitan agama Islam. Ini ditambah pula dengan fakta bahawa pengasas dan pengarah syarikat berkaitan adalah terdiri dari kalangan orang Islam,” katanya.

Menurut Salehuddin pendekatan penghakiman bertentangan itu adalah selaras dengan hujah yang dikemukakan oleh MAIS dalam kes tersebut yang merujuk kepada konsep 'orang buatan' atau 'artificial person' atau 'syakhsiyyah i'itibariyyah' dalam kehakiman dan jurisprudens Islam yang membolehkan tindakan diambil terhadap sesebuah syarikat atau pertubuhan.

Beliau berkata MAIS memberi jaminan bahawa pihaknya dan badan penguat kuasa agama di Selangor akan sentiasa memantau dan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam itu dapat dibanteras. 

Katanya MAIS juga menggesa dan menasihati masyarakat Islam untuk tidak terlibat atau memberikan sokongan terhadap apa-apa program yang berkaitan dengan fahaman yang telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam termasuk fahaman liberalisme dan pluralisme agama.

“MAIS juga menegaskan komitmen untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri serta sokongan institusi diraja bagi memperkasakan perundangan sedia ada demi memartabatkan kedudukan agama Islam selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Salehuddin berkata pendirian MAIS itu telah disembah maklum kepada Sultan Selangor dan baginda senada dengan isi kandungan kenyataan yang dikeluarkan MAIS berhubung keputusan terbaharu mahkamah itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan