AM

QSR Brands Diiktiraf Majikan Terbaik Dua Tahun Berturut-turut

19/06/2025 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- QSR Brands (M) Holdings Bhd sekali lagi meraih pengiktirafan sebagai Majikan Terbaik dalam kategori Makanan dan Minuman di SEEK People & Purpose Awards 2025 oleh JobStreet.

Syarikat mengendalikan rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut itu menerima anugerah emas dalam kategori tersebut bagi dua tahun berturut-turut. 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya Nehchal Khanna berkata pencapaian itu mencerminkan kepercayaan dan keterlibatan pekerja dalam perjalanan untuk meraih gelaran tersebut.

“Pelaburan dalam tenaga kerja adalah kunci kepada pertumbuhan perniagaan. Pendekatan strategik kami dalam pemerkasaan tenaga kerja membolehkan operasi berkembang secara efisien, meningkatkan pengalaman pelanggan dan mendorong pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai operator perkhidmatan makanan terkemuka di negara ini, beliau berkata QSR Brands giat melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan bakat seperti Program Pembantu Pengurus Restoran Pelatih (ARMT), SEED, People Grower, GROW dan Mentorship bagi meningkatkan keupayaan pekerja untuk berdaya saing masa hadapan.

Syarikat turut menekankan aspek inklusiviti menerusi pengendalian cawangan KFC oleh golongan orang kurang upaya (OKU), selain memberi peluang kepada golongan muda kurang memerlukan menerusi pelaksanaan inisiatif seperti Program Latihan SLDN KFC, Program Ijazah 2u2i dan Biasiswa KFC. 

Pada masa sama, QSR Brands kekal komited membentuk generasi pemimpin industri masa depan dengan menawarkan pengalaman pembelajaran secara langsung melalui program Kohort SLDN untuk menghubungkan pendidikan dengan kecemerlangan industri bagi melahirkan tenaga profesional berkemahiran tinggi.

Ketua Pegawai Sumber Manusianya Dr Sharifah Musainah Syed Alwi berkata QSR Brands telah menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memperluas akses kepada program micro-credential dengan pembiayaan penuh bagi membuka peluang kepada peningkatan kemahiran.

“Kerangka bimbingan yang diperkukuh memastikan pembangunan kepimpinan kekal sebagai fokus utama, membolehkan mobiliti dalaman dan memacu inovasi dalam pasukan,” katanya.

Seiring perkembangan industri makanan dan minuman, QSR Brands berada di hadapan menerusi transformasi digital, integrasi kecerdasan buatan (AI) dan strategi berasaskan data selain komited terhadap matlamat ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus).

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan