AM

Kenyataan Bersama Langkawi Dicadang Sebagai Kerangka Panduan Tangani Belia Tercicir Sekolah

18/06/2025 10:20 PM

LANGKAWI, 18 Jun (Bernama) -- Kenyataan Bersama Langkawi mengenai Kanak-Kanak dan Belia Yang Tidak Bersekolah (OOSCY) telah dicadangkan sebagai kerangka panduan bagi memajukan tindakan  bersama dalam memastikan akses kepada pendidikan dan peluang belajar di seluruh ASEAN.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM Dr Wan Raisuha Wan Ali telah membentangkan draf mengenai kenyataan itu selepas Forum Pendidikan ASEAN, yang dihadiri para pegawai kanan sebagai sebahagian daripada Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN (#EduRoundtables2025), berakhir hari ini.

Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN dan Timor-Leste dijangka membincangkan draf itu pada sesi tertutup Persidangan Meja Bulat esok untuk menerima pakai kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu mencerminkan komitmen kolektif negara anggota ASEAN untuk meningkatkan usaha menangani isu OOSCY yang diburukkan lagi oleh kemiskinan, konflik, perubahan cuaca dan impak berlanjutan pandemik COVID-19.

Draf itu, yang dikembangkan daripada perbincangan meluas wakil-wakil negara anggota, merangkumi keutamaan dan strategi bersama hasil rundingan pada forum itu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dijadual menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum disusuli sidang media esok.

Langkah menangani isu OOSCY kekal sebagai agenda utama pada sesi Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN terutama selepas kajian bersama oleh EdTech Hub dan Sekretariat Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) yang menganggarkan bahawa rantau ini memiliki kira-kira 11.8 juta pelajar yang keciciran, mewakili hampir 5 peratus angka OOSCY di peringkat global.

Bercakap mengenai isu OOSCY di Malaysia, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan KPM Dr Nor Saidatul Rajeah Zamzam Amin berkata terdapat tiga kategori iaitu mereka yang tidak pernah ke sekolah, mereka yang tercicir dan mereka yang berisiko tercicir.

Semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Leveraging Artificial Intelligence (AI) to Mitigate Dropouts pada Forum Leveraging Technology and Innovative Strategies to Reduce OOSCY Barriers, beliau berkata kementerian sedang menggunakan Sistem Pengesanan Murid KPM yang diperkasa oleh AI bagi membantu menangani isu itu.

“Berdasarkan data peribadi, akademik, psikometrik, geolokasi dan data relevan lain, sistem AI boleh meramalkan kebarangkalian pelajar tercicir, mencadangkan laluan pembelajaran yang bersesuaian (termasuk pilihan vokasional) dan mencadangkan laluan kerjaya bagi mengurangkan OOSCY.

-"Ini membantu kita merancang dan melaksanakan intervensi bersasar seperti bantuan kewangan dan kaunseling,” katanya.

Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan,' telah menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang-Sidang Berkaitan dari 23 hingga 26 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ini adalah tahun kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas menyandangnya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan