DUNIA

Ringgit Susut Berbanding Dolar AS Menjelang Keputusan Kadar Faedah AS

18/06/2025 09:15 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada Rabu menjelang keputusan mengenai kadar faedah Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini dan ketegangan antara Israel dan Iran yang terus meningkat.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2500/2550 berbanding dolar AS daripada  4.2390/2475 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata petunjuk utama yang perlu dipantau adalah “plot titik” (data) Kadar Dana Rizab Persekutuan (Fed) AS, yang pada asasnya mencerminkan prospek jangka pendek bagi dasar monetari AS.

Plot titik Fed adalah carta yang digunakan oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS  untuk memaparkan unjuran kadar faedah individu daripada ahlinya.

“Fed dilihat mungkin tidak berminat untuk melonggarkan dasar monetari kerana risiko inflasi yang lebih tinggi masih jelas berikutan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah. Pasaran sedang bersedia menunggu keputusan mesyuarat FOMC malam ini.

“Sementara itu, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.3 peratus kepada 98.526 mata walaupun ketidaktentuan geopolitik meningkat,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata ringgit bergerak dalam julat kecil hari ini dengan pergerakan antara RM4.2425 dan RM4.2515.

Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7218/7285 daripada 5.7413/7528 dan naik berbanding euro kepada 4.8888/8945 daripada 4.8986/9084 tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 2.9322/9359 daripada 2.9271/9332 semasa ditutup pada Selasa.

Ringgit kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang rakan ASEAN.

Ia menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 260.5/260.9 daripada 260.2/260.8, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3074/3115 daripada 3.3068/3137 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0240/0449 daripada 13.0114/0443 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.46/7.48 daripada 7.48/7.49 semasa ditutup semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan