AM

Saifuddin Nasution Zahir Penghargaan Kepada Razarudin

18/06/2025 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) --  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain yang bakal menamatkan perkhidmatan pada Ahad ini.

Saifuddin menerusi hantaran di media sosial memaklumkan beliau menerima kunjungan hormat daripada Razarudin di pejabatnya petang tadi, sempena persaraan KPN.

“Dalam pertemuan penuh mesra dan hormat ini, saya berpeluang menyampaikan secara peribadi penghargaan serta ucapan terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti Tan Sri sepanjang menabur bakti dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya sepanjang tempoh beliau memimpin pasukan sebagai Ketua Polis Negara.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah memperlihatkan kepimpinan yang berwibawa, tegas dalam prinsip, namun sentiasa berjiwa rakyat,” katanya.

Sementara itu, PDRM menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan Razarudin turut  menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, sempena penamatan kontraknya.

Istiadat menghadap itu berlangsung  masing-masing di Istana Hinggap Perak dan Istana Hinggap Terengganu, di sini, hari ini.

Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-14 selama dua tahun secara kontrak selepas bersara, berkuat kuasa 23 Jun 2023 bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan