PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Pencapaian Malaysia dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 membuktikan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan meskipun berdepan cabaran global, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata pencapaian itu turut mengesahkan keberkesanan dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI.
Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam WCR 2025 ke kedudukan ke-23, iaitu pencapaian terbaik negara sejak 2020, sekali gus mencerminkan momentum progresif dalam agenda pemulihan dan pembaharuan ekonomi negara.
Dalam kenyataan hari ini, Nga memaklumkan Malaysia kini merupakan destinasi pelaburan ketiga paling menarik di dunia, menarik minat syarikat teknologi gergasi seperti Intel, Microsoft, Amazon dan Infineon untuk memperluas pelaburan mereka di pasaran tempatan.
"Di bawah pimpinan Kerajaan MADANI, ekonomi Malaysia berkembang 5.1 peratus pada 2024, melebihi jangkaan Bank Dunia dan agensi antarabangsa lain. Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut meningkat kepada 6.3 peratus, lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya," katanya.
WCR diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland.
Ia merupakan laporan komprehensif yang menilai keupayaan sesebuah ekonomi untuk menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial